KUALA LUMPUR – Kapal Littoral Combat Ship 1 (LCS 1) KD Maharajalela kini berada dalam fasa ujian laut di peringkat limbungan.
Namun pentauliahan kapal berkenaan tidak lagi disasarkan seawal Ogos 2026,sebaliknya dipinda ke Disember 2026, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, sehingga 25 Disember tahun lalu, kemajuan keseluruhan Projek LCS telah mencapai 75.75 peratus sebenar berbanding 81.57 peratus perancangan, menurut makluman pihak LUNAS kepada kementerian.
“Khusus bagi Kapal LCS 1, kemajuan semasa adalah 82.90 peratus sebenar berbanding 96.52 peratus dirancang,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah) dan Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung status sea trial LCS 1 serta garis masa projek.
Beliau berkata, walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama.
“Fasa ujian laut bagi Kapal LCS 1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Januari 2026 dan seterusnya memulakan first sea going pada 28 Januari 2026,” katanya.
Jelas Mohamed Khaled lagi, ujian awal itu melibatkan sistem jentera, janakuasa, sistem penghawa dingin serta propulsion system.
Sea trial penuh disasarkan bermula awal April 2026.
Berdasarkan maklum balas LUNAS, jadual pentauliahan LCS 1 kini dipinda ke Disember 2026, diikuti LCS 2 pada Ogos 2027, LCS 3 pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Daripada segi kos, beliau memaklumkan, nilai keseluruhan kontrak Projek LCS adalah RM11.2 bilion bagi lima kapal, dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau kira-kira 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Kementerian Pertahanan telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review (PMR), Project Monitoring Committee (PMC) serta Jawatankuasa Teknikal yang bersidang secara berkala untuk memastikan ketelusan dan kawal selia berterusan, dengan penglibatan TLDM sebagai end-user dan pihak LUNAS,” katanya. – MalaysiaGazette















