Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berikutan kesalahan laksana perintah mahkamah dalam proses sitaan harta alih di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

AMPANG – Kesemua 14 harta alih yang disenaraikan dalam notis sitaan secara paksa daripada sebuah kediaman di Ampang Jaya, dekat sini pada Rabu bukan milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Sebaliknya barang yang bakal dirampas bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok itu adalah milik Amin Daniel, kata Peguam Nasser Yusof.

Peguam, Nasser Yusof bercakap pada media berikutan kesalahan laksana perintah mahkamah dalam proses sitaan harta alih di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

“14 item itu adalah milik kepada anak Datuk (Jamal). Jadi, akan ada masuk satu saman interpleader untuk menyatakan harta-harta tersebut yang telah direkodkan semalam itu adalah bukan milik Datuk (Jamal).

“Kami akan failkan kepada mahkamah tidak lama lagi berkenaan dengan interpleader,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berikutan kesalahan laksana perintah mahkamah dalam proses sitaan harta alih di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

Semalam, sejumlah 14 harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu disita secara paksa daripada kediamannya di Ampang Jaya dekat sini pada Rabu dengan kehadiran bailif Mahkamah Tinggi.

Barangan yang dirampas itu sedang menunggu pelupusan secara lelong bagi menyelesaikan penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 yang belum dibayar kepada Ahli Parlimen Seputeh itu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berikutan kesalahan laksana perintah mahkamah dalam proses sitaan harta alih di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

Bayaran itu membabitkan kos guaman yang belum dibayar oleh Jamal, 56, berhubung kes saman fitnah mendakwa Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Selain itu, Nasser juga berkata, kesemua harta termasuk kediaman di Ampang Jaya tersebut adalah milik Amin Daniel.

“Ini kerana harta tersebut adalah milik anak Datuk Seri Jamal dan rumah tersebut juga merupakan rumah kelamin bagi anak Datuk Seri Jamal,” katanya.

Peguam, Rejinder Singh bercakap pada media berikutan kesalahan laksana perintah mahkamah dalam proses sitaan harta alih di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2026.

Sementara itu, peguam Rejinder Singh pula memberitahu, kesemua pihak yang melaksanakan proses penyitaan harta alih milik anak Jamal pada Rabu didakwa melakukan penyalahgunaan kuasa.

“Mana-mana perintah mahkamah itu perlu ada cara melaksanakan. Apa yang saya difahamkan daripada Datuk Seri Jamal dan saksi-saksi lain, terdapat salah guna kuasa.

“Kita walaupun berjawatan, tapi jawatan kita tidak membenarkan kita untuk mencerobohi ataupun melaksanakan perintah dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Jelas Rejinder, kehadiran beberapa anggota polis seakan-akan mahu menakut-nakutkan anak guamnya dan semua pihak yang berada di dalam kediaman tersebut semasa kejadian.

“Kalau kita baca perintah mahkamah semalam, ia adalah mengenai satu tuntutan sivil, bukan satu kes jenayah.

“Apa keperluan pihak polis hadir untuk satu tuntutan sivil? Dan sama ada kebenaran daripada pihak berkuasa telah diperolehi? Saya telah baca perintah mahkamah.

“Perintah mahkamah kata boleh guna anggota polis jika perlu. Jadi apakah keperluan pihak polis untuk dipanggil untuk melaksanakan satu perintah? Kami akan siasat lebih lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, anak guamnya akan mengambil tindakan saman sivil di Mahkamah Tinggi untuk menyaman pihak-pihak yang telah menyalahgunakan kuasa dan melampaui batas ketika menjalankan proses sitaan.

“Kita juga akan ambil tindakan saman sivil di Mahkamah Tinggi untuk menyaman pihak-pihak yang telah menyalahgunakan kuasa dan juga telah melampaui batas dalam tindakan mereka menjalankan tugas pada waktu semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast