Pihak berkuasa China akan ke Brisbane ketika pencarian seorang lelaki yang didakwa menyiram kopi panas ke atas seorang bayi pada tahun 2024 diteruskan. (Foto: Queensland Police)

SYDNEY – China akan menghantar satu pasukan ke Australia bagi mengesan seorang lelaki yang didakwa menyiram seorang bayi dengan kopi mendidih pada tahun 2024.

Bayi berusia sembilan bulan itu diserang ketika bersama keluarganya di sebuah taman di kawasan pinggir selatan Brisbane, menyebabkan dia mengalami melecur serius pada muka dan anggota badannya.

Beberapa minit selepas polis mengenal pasti identiti lelaki tersebut dan mengeluarkan rakaman CCTV mengenainya, pihak berkuasa dimaklumkan suspek, 33 tahun telah terbang ke China 12 jam lebih awal.

China tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Australia.

Duta Besar China ke Australia, Xiao Qian pada hari Khamis, satu “kumpulan kerja” akan ke Brisbane bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kami serius dalam menangani kebimbangan ini, dan kami serius dalam mengambil tindakan yang perlu,” kata Xiao kepada wartawan di Canberra.

Beliau menambah, pasukan itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia untuk “melihat apa sebenarnya yang berlaku, bagaimana ia berlaku, dan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk tindakan susulan”.

Dalam satu kenyataan bersama, Polis Queensland dan Polis Persekutuan Australia berkata, mereka “menyokong delegasi pihak berkuasa China”, sambil mengucapkan terima kasih atas “kerjasama berterusan” memandangkan cabaran yang timbul akibat lokasi suspek yang didakwa.

“China mempunyai bidang kuasa luar wilayah untuk mendakwa warganegaranya atas perbuatan yang berlaku di luar China,” menurut kenyataan bersama itu.

Satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap lelaki tersebut atas kesalahan berniat menyebabkan kecederaan parah, satu pertuduhan yang di Australia boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Polis menyifatkan suspek sebagai seorang pekerja “berpindah-randah” yang telah beberapa kali ke Australia antara tahun 2019 hingga 2024, dan mempunyai alamat di negeri Victoria dan New South Wales.

Berita mengenai insiden itu mencetuskan kemarahan di seluruh Australia berikutan sifat serangan tersebut dan tahap kecederaan yang dialami bayi berkenaan.

Lelaki itu didakwa menuang kandungan sebuah termos yang berisi kopi panas ke atas bayi tersebut ketika keluarga itu sedang berkelah.

Kanak-kanak lelaki itu memerlukan beberapa pembedahan cantuman kulit dalam beberapa minggu selepas serangan pada Ogos 2024.

Tiga bulan kemudian, ibu bapanya memaklumkan perkembangan terkini dengan mengatakan walaupun anak mereka masih mempunyai parut di dagu dan bahu, keadaan keseluruhannya “semakin baik”.

Satu kutipan derma dalam talian bagi rawatan perubatan kecederaan bayi itu berjaya mengumpul lebih daripada AS$230,000 menunjukkan sokongan besar orang ramai terhadap keluarga mangsa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast