Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mempersoalkan kewajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan mengetuai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) sedangkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Dalam masa sama, Ketuanya, Mohamed Sukri Omar turut mempersoalkan mengapa perlu diwujudkan susunan baharu yang akhirnya masih meletakkan Muhyiddin di posisi paling berpengaruh, jika benar niat asal ialah untuk berundur dan memberi ruang kepada pemimpin lain.

Tegasnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dari sudut perlembagaan parti, malah mencetuskan persoalan besar dari sudut adab kepimpinan dan keikhlasan berorganisasi.

“Perlembagaan PN bukan dokumen yang boleh diubah tafsirnya mengikut selera politik individu, apatah lagi demi mengekalkan pengaruh peribadi.

“Ia adalah kerangka amanah yang dibina untuk menjaga kestabilan gabungan dan kepentingan rakyat, bukan untuk memenuhi percaturan kuasa jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamed Sukri mengingatkan yang mana pergolakan yang berpanjangan dalam PN tidak akan menyelesaikan apa-apa.

Ujar beliau, apa yang terhakis akhirnya bukan kedudukan individu, tetapi keyakinan rakyat terhadap PN sebagai sebuah gabungan yang stabil, berprinsip dan matang.

Menurutnya, PN tidak dibina untuk menjadi benteng melindungi kelompok tertentu atau alat menyelamatkan kepentingan sempit apabila tiba masa berundur.

“Jangan korbankan PN demi nafsu peribadi mengekalkan kuasa.

“Jangan jadikan perlembagaan sebagai perisai untuk mengabsahkan langkah yang bercanggah dengan semangat muafakat dan konsensus.

“PN jauh lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya ikhlas mahu melihat PN terus kukuh dan relevan, maka keberanian sebenar ialah mengetahui bila perlu berundur dengan bermaruah, bukan mencari posisi baharu untuk terus mengemudi dari belakang tabir.

“Berhentilah dengan cara yang terhormat. Demi perpaduan gabungan. Demi kestabilan politik. Demi kepentingan rakyat.

“Biarlah bahtera Perikatan Nasional terus belayar gagah, dipandu oleh prinsip, bukan digoncang oleh keinginan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast