KUALA LUMPUR – Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak Perlembagaan Sabah berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil bersih terus diperkukuh apabila rundingan rasmi memasuki fasa lebih tersusun melalui penubuhan jawatankuasa khas antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tahun lalu berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah.
“Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas pada kadar 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang didapati oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah,” katanya.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, keputusan itu membuktikan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati prinsip Pemberian Khas sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Madius Tangau (GPS–Tuaran) mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta kemajuan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, rundingan rasmi antara kedua-dua kerajaan telah diteruskan pada 17 November tahun lalu bagi melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan telah meneruskan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan mengambil kira pertimbangan keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Anwar berkata, rundingan berkenaan bukan sekadar perbincangan awal, sebaliknya melangkah ke fasa lebih tersusun apabila kedua-dua pihak membincangkan penubuhan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Selain itu, turut dibincangkan ialah terma rujukan yang akan digunakan sebagai panduan semasa rundingan dilaksanakan kelak,” jelasnya.
Beliau menambah, rundingan seterusnya dijadualkan diadakan pada 28 Januari dan kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan secara teratur serta mencapai persetujuan bersama. – MalaysiaGazette
















