KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana kakitangan di bawah kementerian ini.
Tegas beliau, integriti adalah teras utama dalam memelihara kelestarian alam sekitar negara.
“Saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk memastikan segala fungsi dan operasi harian Jabatan Alam
Sekitar berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dan pemantauan alam sekitar tetap diutamakan.
“Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Arthur berkata, NRES akan terus memantau perkembangan kes ini dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan susulan di peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya perlu.
Petang tadi, SPRM mengesahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya telah ditahan berhubung pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Penahanan kedua-dua suspek dibuat selepas mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 6.30 petang tadi. – MalaysiaGazette
Ketua Pengarah JAS dan timbalan direman esok berkait e-waste
















