Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Jalan Duta. Foto AIZAT ZAINAL, 25 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bermula 1 Mac 2026, bagi sektor perkilangan diikuti oleh sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun 2026.

Pelaksanaan kerangka baharu ini menandakan satu anjakan dasar strategik yang signifikan dalam landskap insentif pelaburan negara bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, mampan serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

NIF bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pengaitan pemberian insentif dengan pencapaian hasil yang spesifik sejajar dengan keutamaan strategik negara dan mengguna pakai pendekatan berperingkat dan berasaskan hasil yang selari dengan aspirasi dasar ekonomi dan perindustrian negara.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, pelaksanaan kerangka ini berpandukan dua strategi nasional utama, iaitu Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Selaras dengan pelaksanaan NIF, kerajaan tidak lagi menerima permohonan baharu bagi insentif untuk sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986).

Tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan insentif di bawah PIA 1986 bagi sektor perkilangan adalah pada 28 Februari 2026 jam 3 petang.

Bagaimanapun, syarikat yang telah diluluskan dan sedang menikmati insentif di bawah PIA 1986 tidak akan terjejas
dan kelulusan sedia ada akan terus berkuat kuasa mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Bagi memastikan objektif NIF dicapai secara berkesan, Kad Skor NIA akan digunakan sebagai mekanisme penilaian yang komprehensif untuk mengukur dan mengkuantifikasikan impak serta hasil pelaburan berdasarkan keutamaan nasional yang telah
ditetapkan.

Di bawah NIF, kerajaan menawarkan dua jenis insentif cukai utama yang bersifat saling eksklusif, yang mana pemohon perlu memilih salah satu bagi projek yang layak iaitu:

(i) Kadar Cukai Khas Istimewa (STR)
 Kadar cukai istimewa bagi tempoh yang ditetapkan.

(ii) Elaun Cukai Pelaburan (ITA)
 Insentif berasaskan perbelanjaan modal berdasarkan peratusan Perbelanjaan Modal Yang Layak (QCE) yang boleh digunakan untuk ditolak daripada pendapatan berkanun.

MITI berkata, pemberian insentif di bawah NIF akan ditentukan berdasarkan komitmen syarikat serta penilaian melalui Kad Skor NIA, yang mengambil kira sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi serta aspek kemampanan.

Syarikat boleh memohon insentif berdasarkan kategori yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan kriteria sebagaimana
yang diperincikan dalam Garis Panduan Pelaksanaan NIF bagi Sektor Perkilangan.

Garis Panduan Pelaksanaan NIF tersebut memperincikan kriteria kelayakan, parameter penilaian di bawah Kad Skor NIA, kategori insentif, serta proses permohonan dan penilaian.

Maklumat lanjut berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan NIF ini boleh dilayari melalui portal rasmi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Maklumat lanjut berkaitan NIF boleh di layari di https://www.miti.gov.my/NIF – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast