Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria

KUANTAN – Pemuda Pas Pahang dinasihat agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan merujuk kepada agensi berkaitan bagi mengelakkan sebarang manipulasi dan salah fakta.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria berkata, ia kerana Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa komited terhadap akauntabiliti dalam pentadbirannya.

“Pemuda Pas Pahang perlu lebih berhemah, bertanggungjawab dan cermat dalam mengeluarkan sebarang kritikan berkaitan projek-projek di bawah seliaan kerajaan negeri seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA).

“Kenyataan yang semberono dan gelojoh hanya akan mewujudkan tidak keharmonian di kalangan rakyat dan hanya menimbulkan persepsi buruk terhadap Kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan dibuat Pemuda Pas Pahang semalam yang mendakwa projek KIA hanya dijadikan bahan promosi kejayaan dan keupayaan pentadbiran oleh kerajaan negeri, walhal projek itu tidak siap seperti yang dijanjikan.

Dalam kenyataan sama juga, Pemuda Pas Pahang menerusi Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar turut menyuarakan kebimbanganbahawa projek mega seperti itu melibatkan implikasi besar terhadap kewangan negeri, guna tanah, alam sekitar serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

Mustaqim bagaimanapun membidas kenyataan itu dan mengatakan kebimbangan tersebut adalah tidak perlu dan tidak berasas.

“Lebih elok ambil masa untuk semak prestasi kewangan kerajaan negeri daripada terus mencipta persepsi jahat terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.

Tegas Mustaqim, Pemuda UMNO Pahang sentiasa meletakkan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang nyata mempamer rekod pencapaian dan prestasi pentadbiran yang baik. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Apa jadi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan? – Azlan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast