KUALA LUMPUR – Gabungan Perikatan Nasional (PN) berisiko berdepan tindakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sekiranya bertindak memansuhkan jawatan pengerusi gabungan itu.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia kerana jawatan tersebut termaktub dalam Perlembagaan pembentukan gabungan tersebut dan sebarang perubahan terhadap struktur tersebut adalah tidak berperlembagaan dan boleh mengundang implikasi undang-undang.
“Pendirian Pas jelas berdasarkan surat Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang), kami mahu struktur PN kekal sebagaimana dalam Perlembagaan.
“Tak boleh diubah, kalau diubah ia satu tindakan tidak berperlembagaan. Mungkin satu tindakan yang boleh diambil pihak berkuasa, terutama JPPM,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Pendirian itu dibuat Takiyuddin setelah wujud dakwaan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan tersebut sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan berkenaan.
Muhyiddin turut persetujuan itu turut melibatkan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN manakala Pas mengetuai Jawatankuasa Eksekutif, seperti yang dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 27 Januari lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan, parti itu hanya bersetuju untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN buat masa ini.
Dalam sidang media sama, Takiyuddin turut memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap semua butiran dalam surat berkenaan khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pertemuan pemimpin Pas yang diketuai Abdul Hadi dengan Muhyiddin pada 16 Januari lalu langsung tidak membincangkan soal pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
“Kalau nak mansuhkan jawatan itu, Presiden Pas tidak akan setuju. Ia mesti kekal sebagaimana ada dalam Perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan ketua empat parti komponen PN akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin sebagai mesyuarat awal bagi menentukan hala tuju gabungan sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin serta melantik penggantinya. – MalaysiaGazette
















