KUALA LUMPUR – Ariani terus mengukuhkan kedudukan sebagai jenama fesyen Muslimah terkemuka di negara ini apabila menampilkan lebih 400 rekaan hijab dan 300,000 busana raya sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang,
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani berkata, rekaan hijab meliputi selendang hingga ke tudung segera seperti bawal yang ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna tumpuan.
Menurut beliau, segmen busana raya daripada sub-jenama Ariani Ready-to-Wear (RTW) pula menyedikan sebanyak 300,000 helai busana raya merangkumi baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan, jubah serta pelbagai potongan moden lain.
“Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar perhimpunan keluarga dan tradisi bermaaf-maafan kerana ia saat untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang.
“Persalinan baju raya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang kegembiraan dan kenangan bermakna yang diraikan bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia sempena penganjuran Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani 2026, yang berlangsung dengan penuh gemilang di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Pertunjukan fesyen Warna Lebaran Ariani 2026 itu mengekalkan tiga duta tetap jenama, iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah Ariani RTW Premium.
Barisan selebriti lain yang turut memeriahkan pentas peragaan termasuk Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor manakala Mira Filzah yang pernah menjadi duta Ariani sebelum ini.
Mengulas lanjut, Farah memberitahu, Ariani kini telah membuka cawangan baharu di pusat membeli-belah, Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) yang menjadi simbol pertumbuhan berterusan jenama ini dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dan eksklusif kepada pelanggan.
“Komitmen terhadap kualiti dan inklusiviti Ariani kekal berpegang kepada identiti jenama yang kukuh dengan menawarkan koleksi berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan, sama ada di butik fizikal mahupun platform dalam talian
“Selari dengan DNA jenama, Ariani terus komited menyediakan koleksi yang inklusif untuk semua peringkat usia, dengan penekanan terhadap keselesaan, kualiti dan nilai estetika tanpa menjejaskan elemen praktikal untuk pemakaian harian,” katanya. – MalaysiaGazette

Pom, tampil memukau tetamu apabila membuka tirai pertunjukan fesyen sebagai Muse
ARIANI LUXE 2026.
















