Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini memberi pengajaran penting kepada seluruh landskap politik negara khususnya kepada Barisan Nasional (BN) tentang erti sebenar pengurusan konflik dalam sebuah gabungan politik.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, pengajaran paling jelas ialah kepentingan disiplin dalaman dan adab berorganisasi.

Menurutnya, apabila perbezaan pandangan dibawa ke ruang awam tanpa saluran dalaman yang jelas, konflik kecil akan membesar menjadi krisis kepercayaan.

Ujarnya, dalam politik gabungan, setiap kenyataan pemimpin bukan sahaja mencerminkan dirinya, tetapi membawa imej keseluruhan gabungan.

“BN boleh mengambil iktibar bahawa mesyuarat, perundingan dan musyawarah tertutup mesti menjadi medan utama menyelesaikan pertikaian, bukan media sosial atau sidang akhbar yang sarat emosi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Selain itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, pergolakan PN turut mengajar bahawa kepimpinan kolektif perlu lebih kuat daripada ego individu.

Menurutnya, apabila pemimpin lebih menonjolkan pengaruh peribadi berbanding kepentingan gabungan, maka ketidakseimbangan akan berlaku.

“BN, sebagai gabungan lama, mempunyai kelebihan pengalaman untuk menegaskan bahawa keputusan besar mesti berpaksikan konsensus, bukan tekanan awam atau sentimen sementara,” katanya.

Tambahnya, pengajaran lain adalah kepentingan struktur pengurusan konflik yang jelas yang mana konflik tidak boleh dibiarkan terapung tanpa penyelesaian.

Jelasnya, pergolakan dalam mana-mana gabungan sering berpunca apabila tiada garis pemisah antara perbezaan pandangan dan pembangkangan terbuka.

“BN perlu terus memperkukuh peranan majlis tertinggi, sekretariat dan kepimpinan gabungan sebagai penimbang tara yang dihormati, bukan sekadar simbol organisasi,” katanya.

Selain itu, ujarnya, pergolakan PN menunjukkan bahawa naratif perpaduan tidak boleh sekadar slogan kerana rakyat menilai bukan apa yang diucap, tetapi apa yang dipamerkan.

Menurutnya. apabila konflik berlarutan tanpa arah, keyakinan rakyat akan luntur.

“BN boleh belajar bahawa pengurusan konflik yang baik bukan sahaja menyelamatkan gabungan, tetapi juga memupuk keyakinan pengundi bahawa BN mampu mentadbir negara dengan stabil walaupun berdepan perbezaan pandangan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, pengajaran paling besar adalah politik merupakan amanah, bukan medan melampiaskan emosi.

Jelasnya, pergolakan yang tidak diurus dengan hikmah hanya akan menguntungkan pihak lawan dan melemahkan kepercayaan rakyat.

“Untuk BN, kematangan mengurus konflik secara beradab, tersusun dan berjiwa besar bukan sekadar keperluan dalaman, tetapi syarat asas untuk kekal relevan dan diyakini menjelang pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast