KUALA LUMPUR – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menjadi antara faktor utama Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang juruteknik berusia 32 tahun daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah restoran Korea di Mont Kiara, dua tahun lepas.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Faezahnoor Hassan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Lim Wei Lun, di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Wei Lun didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Mei 2024 kira-kira jam 6 petang di Restoran Kang Sikdang Korean BBQ, berhampiran Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berbangsa Cina berusia 37 tahun dengan niat mencabul kehormatannya dengan cara melanggar bahagian belakang tubuh mangsa sehingga kemaluannya terkena pada punggung pengadu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad
Sementara itu, peguam bela tertuduh, Sivahnanthan Ragava memaklumkan MalaysiaGazette mahkamah mendapati keterangan pengadu tidak boleh dijadikan sandaran berikutan percanggahan dalam keterangannya serta bukti rakaman CCTV yang jelas.
“Mahkamah berpendapat sukar untuk bergantung kepada keterangan SP1 iaitu pengadu kerana keterangannya bercanggah, selain rakaman CCTV yang menunjukkan kemaluan OKT langsung tidak menyentuh punggung pengadu,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas prosiding petang tadi.
Katanya, mahkamah turut mendapati bahawa OKT hanya berjalan melepasi pengadu dari arah belakang tanpa sebarang sentuhan fizikal.
“Rakaman juga menunjukkan OKT berjalan menghadap ke hadapan dan bukannya menghadap ke arah punggung pengadu. Maka sangat jelas OKT hanya lalu sahaja di belakang pengadu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sivahnanthan berkata, pihak pembelaan turut berhujah adalah mustahil untuk anak guamnya melakukan perbuatan mencabul seperti didakwa dalam tempoh yang terlalu singkat.

“Kami berhujah di mahkamah bahawa tidak mungkin anak guam kami boleh mencabul pengadu menggunakan kemaluannya dalam tempoh kurang daripada dua saat, dalam keadaan memakai seluar jeans, dan hanya sekadar lalu di bahagian belakang pengadu,”katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersyukur apabila mahkamah menerima hujahan pembelaan tersebut.
“Kami berterima kasih kerana mahkamah menerima hujahan kami dan seterusnya melepas serta membebaskan anak guam kami daripada pertuduhan,” katanya.
Menurut Sivahnanthan, berdasarkan keseluruhan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Dengan itu, mahkamah mendapati tiada kes prima facie dan anak guam saya dilepas serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” ujarnya. -MalaysiaGazette















