KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak pernah berubah sama ada sebelum atau selepas kerajaan dibentuk, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Malah katanya, dakwaan isu itu dipergunakan bagi kepentingan politik disifatkan sebagai tidak adil.
“Pelaksanaan UEC telahpun dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan komitmen awal termasuk libat urus serta inisiatif awal telah dimulakan ketika PH pertama kali membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, segala usaha berkenaan terhenti susulan peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan Kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan, sekali gus menjejaskan kesinambungan pelaksanaan dasar awam yang memerlukan tempoh masa mencukupi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata, DAP berpandangan tuduhan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching dan parti itu kononnya mempergunakan isu UEC untuk kepentingan politik adalah tidak berasas dan tidak adil.
Jelasnya, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, DAP menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung UEC yang disifatkan memberi isyarat positif ke arah penyelesaian isu berkenaan.
DAP turut menegaskan, pengiktirafan UEC dilihat daripada sudut keadilan pendidikan dan prinsip anti-diskriminasi, khususnya melibatkan pelajar sekolah persendirian Cina, dan bukannya isu terpencil atau bahan untuk ditunggangi mana-mana pihak.
Pada masa sama, DAP mengakui keperluan mematuhi proses serta tatacara pentadbiran yang ditetapkan dan berharap UMNO Johor dapat bersama-sama Kerajaan Madani meneruskan usaha ke arah penyelesaian isu berkenaan secara konstruktif.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah mendakwa, pihaknya kesal kerana DAP terus menunggang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk meraih sokongan pengundi Cina dan bukan kerana kepentingan sebenar negara.
Beliau berkata, DAP sepatutnya mengutamakan kepentingan nasional dan bukan kepentingan politik sempit mereka.
Menurut beliau, kenyataan Nie Ching yang kononnya kesal kerana gagal mengiktiraf UEC ketika beliau menjadi timbalan menteri pendidikan adalah tidak wajar sama sekali. – MalaysiaGazette
















