KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dapat menghadiri pertemuan di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi disebabkan perubahan jadual beliau pada saat-saat akhir.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Mohd Sulaiman yang turut memberitahu, ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang berkenaan sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin.
“Ya, berlaku perubahan jadual saat akhir di pihak Tuan Guru (Abdul Hadi). Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) sudah maklumkan ketidakhadiran Tuan Guru kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pandangan Tuan Guru juga sudah disampaikan secara bersurat kepada semua presiden parti anggota PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kesemua presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Gerakan, Dominic Lau hadir di kediaman Muhyiddin di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, di sini, malam tadi.
Pertemuan itu dibuat atas jemputan Muhyiddin dan dikatakan perbincangan ‘pra-majlis’ susulan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya diadakan malam tadi dibatalkan.
Bagaimanapun, kelibat Abdul Hadi tidak kelihatan sehingga berakhirnya pertemuan itu sekali gus menyerlahkan lagi keretakan hubungan antara pemimpin Pas dan Bersatu yang sudah sedia wujud ketika ini.
Sebelum ini, media turut melaporkan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN yang dibatalkan pada saat-saat akhir itu bakal meleraikan kemelut pelantikan jawatan Pengerusi PN khususnya di antara pemimpin Pas dan Bersatu selepas Muhyiddin meletakkan jawatan itu kira-kira sebulan lalu. – MalaysiaGazette
















