KUALA LUMPUR – Stadium Merdeka bergema dengan sorakan puluhan ribu peminat apabila Hip Hop Tamizha tampil dalam konsert Hip Hop Tamizha Live: The Showdown yang berlangsung pada 17 Januari lepas.
Ia sekali gus mencipta sejarah sebagai konsert India pertama di Malaysia menampilkan pertunjukan dron berskala penuh.
MalaysiaGazette difahamkan lebih 30,000 penonton membanjiri lokasi bersejarah itu bagi menyaksikan persembahan bertenaga duo hip hop dari Chennai yang diterajui Adhithya ‘Adhi’ Ramachandran Venkatapathy bersama R Jeeva, lengkap dengan visual berskala stadium dan produksi bertaraf antarabangsa.
Konsert anjuran Don’t Run Away Asia (DRA) itu menandakan langkah lebih besar penganjur berkenaan dalam industri hiburan langsung tempatan selepas kejayaan penganjuran konsert dalaman sebelum ini.
Penganjuran kali ini menyaksikan DRA tampil dengan produksi luar berskala besar di salah satu mercu tanda paling ikonik negara.
DRA dalam kenyataan berkata, antara tarikan utama konsert berkenaan ialah pertunjukan dron yang menerangi ruang udara Stadium Merdeka diselaraskan dengan muzik dan visual pentas, mencipta pengalaman audio visual yang belum pernah disaksikan dalam penganjuran konsert India di Malaysia.
Katanya, produksi konsert digerakkan oleh Media Mason dari India manakala aspek kejuruteraan bunyi dan teknikal dikendalikan Sound Innovations Malaysia, menghasilkan kualiti audio yang jelas serta susunan pencahayaan dan visual yang mantap sepanjang persembahan.
DRA berkata, penganjuran konsert terbuka berskala stadium itu merupakan langkah berani selepas kejayaan konsert dalaman sebelum ini.

“Selepas kejayaan konsert dalaman kami, kami mahu meningkatkan lagi pengalaman penonton.
“Membawa Hip Hop Tamizha ke Stadium Merdeka dengan produksi luar sepenuhnya serta pertunjukan dron buat pertama kali dalam sebuah konsert India merupakan satu langkah berani, dan sambutan luar biasa penonton membuktikan Malaysia bersedia menerima produksi bertaraf dunia pada skala ini,” katanya teruja.
Dalam pada itu, kata DRA lagi, pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi rasmi turut memberi nilai simbolik apabila tapak bersejarah negara itu menjadi latar kepada acara yang menggabungkan muzik, teknologi dan kerjasama antarabangsa.
Selain hiburan, penganjuran konsert turut dilihat memperkukuh hubungan antara industri hiburan India dan Malaysia sekali gus menyokong aspirasi negara untuk muncul sebagai hab penganjuran konsert berskala besar di rantau ini. -MalaysiaGazette















