Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru orang awam agar tidak lagi mengaitkan pihaknya atau Majlis Agama Islam (MAIS) dalam isu perobohan kuil di PJS 4.

Ia kerana tindakan itu bukan dalam bidang kuasa JAIS atau MAIS, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak melontarkan tuduhan terhadap pentadbiran JAIS atau MAIS tanpa memahami kedudukan undang-undang yang terlibat.

“Isu ini perlu dilihat sebagai urusan pentadbiran tanah yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, bukannya suatu tindakan yang dilakukan oleh JAIS dan MAIS untuk mewujudkan pertembungan antara agama Islam dan agama lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada isu pencerobohan tanah warta atas nama JAIS yang mendapat perhatian umum pada masa ini.

Menurut Mohd Shahzihan, arahan pengosongan tanah dan perobohan kuil atas tanah PJS 4 diambil adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa dan bukan di bawah kawalan pihak JAIS atau MAIS.

“Perkara ini juga turut melibatkan urusan pentadbiran Rumah Ibadat Bukan Islam yang di luar bidang kuasa JAIS dan diuruskan oleh pihak kerajaan negeri.

“Justeru, perkara ini adalah tidak wajar dikaitkan sebagai suatu tindakan penindasan ke atas rumah ibadat agama lain,” katanya.

Selain itu, katanya, sebarang kos atau implikasi kewangan yang timbul akibat penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah tidak akan ditanggung menggunakan dana wakaf, zakat atau sumber Baitulmal termasuk Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) atau apa-apa dana awam lain di bawah kawalan JAIS atau MAIS.

“Dana-dana tersebut adalah amanah umat Islam dan hanya boleh digunakan mengikut tujuan asal penubuhannya, selaras dengan prinsip syariah dan tadbir urus kewangan Islam yang berintegriti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast