KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat di negara ini tidak menjadikan soal agama sebagai alat untuk mencetuskan perbalahan atau pertikaian, terutamanya di media sosial.
Beliau berkata, rakyat perlu sentiasa tolak kebencian, provokasi, stereotaip dan prejudis.
Jelasnya, kepelbagaian bangsa dan agama harus menjadi jambatan yang menyatukan, menyemai nilai kasih sayang, nilai murni dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di negara ini merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Ia memperkayakan identiti nasional kita serta menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang kukuh, harmoni dan sejahtera.
“Semoga semangat perpaduan terus mekar dalam sanubari kita semua demi Malaysia yang aman, makmur dan Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena perayaan Thaipusam.
Aaron menegaskan, keharmonian dan persefahaman antara agama merupakan asas kepada kemakmuran serta kestabilan sesebuah negara.
Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu, saling menghormati dan hidup dalam semangat muhibah, ujarnya sambal berharap semangat perpaduan terus mekar dalam sanubari semua demi Malaysia yang aman, makmur dan bersatu. – MalaysiaGazette















