Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman.

KUALA LUMPUR – Lima lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini.

Bagaimanapun, empat daripada mereka melibatkan tiga penguat kuasa dan seorang pesara berkenaan telah direman selama empat hari sehingga 2 Februari 2026 selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, sebelum itu, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hinga 60-an berkenaan telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 5 hingga 7 petang semalam.

“Salah seorang daripada suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala empat lagi di bawa ke Mahkamah Maijstret Putrajaya untuk permohonan reman.

“⁠Kesemua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut untuk melancarkan operasi pusat urut serta memudah cara bagi proses permit pekerja asing syarikat tersebut.

“Sehingga kini juga, SPRM telah mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber berkata, susulan siasatan itu juga, SPRM telah melakukan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat serta kediaman suspek-supek yang telah dikenal pasti.

Katanya, SPRM juga telah mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat melibatkan nilai kira-kira RM13.3 juta

“Rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis di mana 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.

“Disyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuaa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan.” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen-eleman di bawah kesalahanb jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast