Sidang media mangsa-mangsa ahlong di ibu pejabat MHO hari ini. (Kredit foto: MHO).

KUALA LUMPUR – Hanya bermula dengan pinjaman sekitar RM5,000, seorang mangsa sindiket pemberi pinjaman wang haram atau ahlong ditekan sehingga terpaksa membayar lebih RM50,000.

Selain itu mangsa juga menjadi sasaran ugutan berterusan dan keganasan fizikal, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MH)) Hishamuddin Hashim.

Beliau mendedahkan,  kes berkenaan mencerminkan taktik kejam sindiket ahlong memperdaya mangsa bermula dengan pinjaman kecil sebelum menjerat mereka ke dalam kitaran hutang melampau.

Berdasarkan aduan dan dokumentasi diterima MHO, mangsa berusia 58 tahun bekerja sebagai pemandu membuat pinjaman bagi menampung kos rawatan kesihatan namun faedah dikenakan sindiket berkenaan meningkat secara tidak munasabah dalam tempoh singkat.

“Walaupun mangsa telah membuat bayaran kira-kira RM5,000, sindiket tersebut terus menuntut bayaran tambahan sehingga jumlah keseluruhan yang diminta meningkat melebihi RM50,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Hishamuddin berkata, tekanan terhadap mangsa bukan sahaja melibatkan tuntutan kewangan, malah turut disertai ugutan serius terhadap keselamatan diri dan keluarga.

“Ahli keluarga mangsa turut diganggu dan diugut termasuk diminta untuk menyelesaikan hutang tersebut.

“Mangsa juga menerima ugutan berulang kali melalui aplikasi WhatsApp sebelum akhirnya diserang secara fizikal oleh beberapa individu dipercayai ejen along berhampiran tempat kerjanya,” dakwanya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim

Beliau berkata, mangsa telah tampil membuat beberapa laporan polis berhubung ugutan serta kejadian dipukul namun sindiket terbabit masih berani melakukan ugutan yang sama.

Dalam kes lain, Hishamuddin berkata, seorang kontraktor berusia 40 tahun turut mengalami nasib sama selepas membuat pinjaman kecil bagi keperluan perayaan.

“Mangsa meminjam sekitar RM3,000 namun hanya menerima RM2,500 selepas ditolak pelbagai caj. Apabila mangsa memaklumkan tidak lagi mampu membayar faedah, sindiket memanggilnya kononnya untuk berbincang penyelesaian hutang,” ujarnya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan, dibawa berlegar selain dipukul dengan teruk di dalam kereta sekumpulan lelaki.

“Selepas kejadian itu, mangsa ditekan supaya membayar sehingga RM50,000 sebagai syarat penyelesaian hutang selain diugut akan dikenakan faedah tambahan sebanyak 10 peratus seminggu sekiranya gagal membuat bayaran,” katanya.

Hishamuddin berkata, sindiket berkenaan turut mengugut untuk menyebarkan wajah serta maklumat peribadi mangsa di media sosial sekiranya arahan mereka tidak dipatuhi.

Beliau menegaskan, corak sama berulang dalam kebanyakan kes ahlong yang dikendalikan MHO di mana mangsa dipaksa membayar jumlah berkali ganda daripada pinjaman asal melalui ugutan dan keganasan.

“Ini bukan lagi isu hutang semata-mata tetapi satu bentuk jenayah terancang yang menindas mangsa secara psikologi dan fizikal,” katanya.

Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi membanteras sindiket along.

Beliau turut memuji tindakan polis di Kelantan yang membuka semula kertas siasatan berstatus No Further Action (NFA) berkaitan kes pemberi pinjaman wang sambil berharap pendekatan sama diperluaskan ke seluruh negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast