Foto: FB Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Mesyuarat prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan diadakan di Parlimen, Rabu ini bagi membincangkan perkembangan terkini projek pembangunan kapal peronda generasi kedua Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya hari ini mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS), Perak bagi meninjau projek tersebut.

Menurutnya, lawatan ketiga dan berkala itu bagi memantau projek tersebut sebagai susulan kepada prosiding-prosiding PAC terdahulu mengenai projek LCS.

Jelas beliau, semasa sesi lawatan itu, PAC telah diberi taklimat berkenaan kemajuan pembinaan kapal-kapal LCS, garis masa projek serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek itu.

“PAC turut dibawa melihat sendiri kapal LCS1 di Limbungan LUNAS yang sedang dalam proses pembinaan.

“PAC turut dibawa meninjau LCS2 dan LCS3 yang sedang dalam pembinaan dari bahagian luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi PAC itu turut disertai oleh anggota Ex-Officio terdiri daripada wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Kementerian Kewangan; Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara.

Menurut Mas Ermieyati, hasil daripada lawatan itu, PAC mendapati terdapat perkembangan dalam pelaksanaan projek secara keseluruhan.

“PAC akan terus memantau perkembangan projek LCS dari semasa ke semasa bagi memastikan pembinaan LCS disiapkan mengikut garis masa serta kos yang telah dipersetujui,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast