KUALA LUMPUR – Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkannya hadir sesi pemeriksaan dan menyerahkan dokumen berkaitan kes dihadapi ahli perniagaan itu.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan peguam itu selepas berpuas hati bahawa perkara yang berkaitan dengan fungsi penyiasatan pihak berkuasa, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Mahkamah menolak hujahan Mahajoth yang menyatakan penzahiran maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan melalui perintah Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 46(1) Akta SPRM.
“Tafsiran seksyen tersebut difahami secara salah. Saya mengambil perhatian bahawa Seksyen 46 sebenarnya terpakai untuk situasi tertentu sahaja dan perlu dibaca bersama Seksyen 46(1),” ujar beliau.
Hakim Alice berkata, Mahkamah Persekutuan sudah memuktamadkan isu berkenaan dalam kes terdahulu bahawa tindakan oleh pihak berkuasa tidak boleh dipertikai di mahkamah.
Beliau turut berpuas hati, Mahajoth gagal membuktikan niat jahat pihak SPRM bahawa pengeluaran notis berkenaan melanggar undang-undang.
Oleh yang demikian katanya, mahkamah menolak kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati perkara yang berkaitan dengan fungsi penyiasatan pihak berkuasa, tidak boleh dicabar di mahkamah.
Sehubungan itu, permohonan Badan Peguam Malaysia untuk bertindak sebagai pencelah dalam permohonan tersebut, turut ditolak.
Pada 6 Januari lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam N. Surendran mewakili Mahajoth dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang berhujah mewakili SPRM.
Pada 9 Disember tahun lalu, Mahajoth memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan tiga notis yang dikeluarkan pada 29 dan 30 November yang mahukan beliau hadir untuk pemeriksaan serta perintah supaya mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(1)(b) akta SPRM.
Menurut Mahajoth, SPRM mengarahkan beliau mengemukakan telefon bimbit Albert, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian dan kamera serta salinan perbualan WhatsApp antara anak guamnya dengan beberapa individu.
Surendran berhujah, agensi itu tertakluk kepada Seksyen 46(1) Akta SPRM yang mana penzahiran dokumen hanya boleh dilakukan melalui perintah Mahkamah Tinggi yang mana seksyen berkenaan melindungi hak dan keistimewaan di antara peguam dan anak guamnya dalam hal berkaitan pendedahan maklumat.
“Anak guam saya `terperangkap’ di tengah-tengah kerana jika mematuhi notis SPRM, beliau terdedah kepada perlanggaran Akta Keterangan dan jika notis gagal dipatuhi, beliau terdedah kepada tindakan agensi itu,” hujah Surendran.
Dalam pada itu, Shamsul menyatakan, isu yang dibangkitkan oleh responden berkaitan perintah untuk memeriksa pemohon dan perintah untuk mengemukakan dokumen dalam penyiasatan jenayah, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Dalam afidavit yang diikrarkannya, Mahajoth berkata, maklumat yang diminta SPRM merupakan komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam seperti yang peruntukkan di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM.
Beliau berkata, agensi itu menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan tersebut kerana Seksyen 46(1) Akta SPRM menyatakan penzahiran sebarang maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.
Katanya, responden tidak memperolehi sebarang perintah mahkamah dan secara langsung dan tidak sah telah mengeluarkan perintah menurut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM.
Oleh yang demikian, Mahajoth menyatakan, perlindungan statutori bagi komunikasi terlindung di antaranya dan anak guam tidak boleh dipintas dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette















