KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir ahli politik termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang mempertikaikan lanjutan perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dipandang serius.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan, pelantikan tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan cubaan mempolitikkan isu itu hanya melemahkan institusi penguatkuasaan negara.
Beliau berkata, isu lanjutan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan isu undang-undang sebaliknya telah dibingkaikan sebagai polemik politik sempit yang mengelirukan rakyat.
“Pelantikan dan lanjutan perkhidmatan jawatan itu dibuat selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009 dan selagi undang-undang tersebut dipatuhi, ia tidak seharusnya digambarkan sebagai krisis integriti.
“Jika benar reformasi institusi menjadi keutamaan, maka undang-undang sedia ada perlu dihormati, bukan dimanipulasi mengikut selera politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas isu kesihatan dan usia Azam, Jais menegaskan, perkara itu tidak berbangkit kerana beliau masih berada dalam keadaan sihat, stabil serta berkeupayaan penuh untuk memikul tanggungjawab besar menerajui SPRM.
Ujarnya, ketika ini SPRM sedang berada dalam fasa penguatkuasaan agresif serta proses pemutihan dalaman yang menyentuh kepentingan besar termasuk tokoh politik, penjawat awam kanan dan struktur kuasa lama yang sebelum ini kebal daripada tindakan undang-undang.
“Dalam situasi ini, mencetuskan polemik kepimpinan adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia melemahkan moral pegawai penguat kuasa serta mengganggu kesinambungan siasatan dan strategi sedia ada,” katanya.
Menurut beliau lagi, tekanan politik secara terbuka terhadap kepimpinan SPRM merupakan satu “bendera merah” yang membawa mesej berbahaya bahawa institusi penguat kuasa boleh digugat melalui tekanan politik.
“Itu bukan reformasi, sebaliknya cubaan melemahkan SPRM secara halus,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jais turut menolak hujah lanjutan perkhidmatan Azam menunjukkan ketiadaan pelapis, sambil menyifatkannya sebagai alasan cetek dan tidak berasas.
Beliau berkata, pembinaan pelapis boleh dilaksanakan tanpa mengorbankan kestabilan kepimpinan yang sedang berfungsi dengan baik dan memberi kesan nyata kepada negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian untuk menyokong sepenuhnya pengekalan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berdasarkan undang-undang, keupayaan semasa, kestabilan institusi serta keperluan kritikal negara.
“Agenda membanteras rasuah bukan pentas permainan persepsi. Ia memerlukan ketegasan, kesinambungan dan keberanian untuk membiarkan penguat kuasa menjalankan tugas tanpa gangguan politik.
“Siapa yang benar-benar mahu memerangi rasuah mesti menghentikan polemik ini dan membiarkan SPRM bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette
















