PEMBINAAN Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi keputusan dasar perancangan bandar yang strategik.
Matlamatnya jelas iaitu mengalihkan operasi bas jarak jauh keluar dari pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselamatan dan menyusun semula aliran mobiliti metropolitan secara lebih tersusun.
Dalam konteks ini, keputusan kerajaan membenarkan pusat beli-belah dijadikan hab pengangkutan awam, khususnya bagi laluan berpermintaan tinggi seperti Kuala Lumpur–Singapura, perlu dinilai dengan lebih berhati-hati.
Langkah ini berpotensi mencipta percanggahan dasar jika tidak diselaraskan dengan rasional asal pembinaan terminal bersepadu dan prinsip perancangan bandar yang telah lama digariskan.
Benar, laluan tersebut mempunyai permintaan tinggi dan memerlukan sistem hentian yang lebih teratur serta selamat. Namun dasar pengangkutan awam tidak boleh dibentuk semata-mata mengikut tekanan pasaran atau kepentingan komersial jangka pendek.
Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada desakan pengusaha bas atau pemilik pusat beli-belah yang mungkin tertekan untuk merancakkan trafik komersial, sebaliknya kerajaan perlu kekal sebagai pemacu utama dasar mobiliti negara dan memandu hala tuju perancangan yang telah dibentuk sejak sekian lama. Ini menuntut perancangan yang berdisiplin, penetapan lokasi strategik serta kawalan operasi yang konsisten.
Pengalaman negara maju menunjukkan kejayaan integrasi pembangunan komersial dan hab transit berlaku kerana perancangan tersebut dilaksanakan secara serentak sejak peringkat awal melalui pendekatan Transit-Oriented Development (TOD).
Sebaliknya, penggunaan pusat beli-belah sedia ada sebagai hab transit di Malaysia merupakan pendekatan “retrofit” yang membawa implikasi besar dari sudut trafik, keselamatan dan pengurusan bandar dan tidak boleh dianggap setara dari segi konteks perancangan.
Dalam kerangka ini, pelaksanaan di LaLaport boleh diterima sebagai projek perintis yang dikawal selia secara ketat.
Namun peluasan ke pusat komersial lain mesti tertakluk kepada kerangka tadbir urus yang jelas, analisis berasaskan data serta penilaian impak trafik yang menyeluruh agar sistem pengangkutan awam sedia ada tidak terjejas.
Kerjasama dengan sektor swasta dan usaha pembaharuan wajar disokong, tetapi ia mesti bergerak seiring bukan bercanggah dengan Dasar Pengangkutan Awam yang telah dibangunkan secara berperingkat sejak sekian lama.
Kesimpulannya, inovasi dalam pengangkutan awam tidak boleh digerakkan secara tergesa-gesa atau terpisah daripada prinsip perancangan bandar.
Ia mesti dilaksanakan secara berdisiplin, berpaksikan data dan selari dengan hala tuju dasar nasional supaya pembaharuan yang diperkenalkan benar-benar memperkukuh mobiliti rakyat dan kelestarian sistem pengangkutan negara, bukan mengundurkan asas yang telah dibina bertahun-tahun.
Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
Mantan Penyelidik Kajian Pengangkutan Awam Negeri Terengganu 2006
















