KUALA LUMPUR – Semua jenis sukan diberi perhatian secara sama rata dan tiada mana-mana sukan yang dipinggirkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk acara memanah berkuda yang disertai atlet dan jurulatih tempatan di peringkat antarabangsa.
Menurut KBS, kerajaan mengiktiraf sebanyak 103 sukan seperti mana yang diperuntukkan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
“Ini termasuk sukan bukan teras yang mana setiap sukan tersebut mempunyai peranan dan ekosistem pembangunan tersendiri.
“Dari sudut dasar, keutamaan sokongan prestasi tinggi negara adalah diselaraskan dengan penyertaan dan pengiktirafan sukan tersebut dalam temasya utama antarabangsa.
“Antaranya Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA, serta pengiktirafan oleh badan induk sukan dunia,” katanya KBS menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan Jurulatih Akademi Alam Warisan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan mendakwa, kejayaan pasukannya merangkul tiga pingat emas dalam Kejohanan Global Horseback Archery Masters di Shenzhen, China pada 10 hingga 13 Disember 2025 tidak diiktiraf Kerajaan Malaysia.
Akmal berkata, meskipun atlet-atlet bimbingannya berjaya mengharumkan nama Malaysia, namun sukan memanah berkuda itu didakwa seolah-olah dipandang sepi terpinggir daripada mendapat sokongan dana pembangunan daripada KBS.
Selain itu, KBS juga merakamkan penghargaan atas pencapaian atlet dan jurulatih sukan memanah berkuda yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“KBS kekal komited untuk menyokong pembangunan sukan secara inklusif dan mampan selaras dengan peruntukan Akta Sukan serta keutamaan pembangunan sukan negara.
“Malah KBS juga menggalakkan kerjasama berterusan antara kementerian dan persatuan sukan bagi memperkukuh ekosistem sukan tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, KBS juga tidak pernah menafikan sokongan pembangunan kepada sukan-sukan lain yang diiktiraf di bawah Akta Sukan.
“Berhubung sukan memanah berkuda, KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menyalurkan sokongan kewangan kepada Persekutuan Sukan Memanah Berkuda Malaysia (MHAF) melalui mekanisme bantuan sedia ada.
“Sebanyak RM107,000 diberikan melalui Geran Padanan Sukan (GPS) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan sukan pada 2023.
“KBS juga menyalurkan RM60,000 bagi penganjuran Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Memanah Berkuda melibatkan dua siri program yang telah dilaksanakan di Negeri Sembilan pada 2025,” katanya.
Katanya KBS lagi, semua persatuan sukan yang berdaftar dan memenuhi syarat kelayakan turut berpeluang memohon bantuan melalui pelbagai skim pembiayaan yang disediakan KBS.
“Antaranya Dana Sukan Komuniti (DSK), Geran Padanan Sukan (GPS) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSAN) tertakluk kepada terma dan garis panduan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette
















