Seorang wanita warga emas cedera parah dalam kejadian letupan tong gas di sebuah rumah di Taman Kledang Emas, Ipoh pada Jumaat. Foto Bomba Ipoh

IPOH – Seorang wanita warga emas cedera parah dalam kejadian letupan tong gas di rumahnya di Taman Kledang Emas di sini hari ini.

Kejadian sekitar 3.40 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 63 tahun itu melecur hampir seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, menerusi temubual dengan anak mangsa, kejadian bermula dengan bau kuat disyaki daripada tong gas yang dapat dihidu dari bilik tidurnya di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.

Menurutnya, anak mangsa bertindak mengejutkan ibu (mangsa) dan adik perempuan untuk keluar daripada rumah kerana bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

“Bagaimanapun, ketika turun, mangsa bergerak ke tong gas bagi menutup kepala injap gas sebelum berlaku letupan sehingga menyebabkan kebakaran yang turut menyambar mangsa.

“Letupan gas itu turut mengakibatkan pintu cermin hadapan rumah pecah selain jeriji besi turut terkopak, dipercayai akibat gas sudah terkumpul di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, letupan itu mengakibatkan mangsa melecur hampir seluruh badan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Doktor bertugas telah memaklumkan bahawa mangsa dalam keadaan kritikal dan mangsa telah ditidurkan,“ ujarnya.

Tambahnya, saksi dan adik perempuannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast