Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh bersama-sama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat reruai pameran ketika majlis pelancaran Karnival Madani Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di perkarangan Stadium Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan fokus kepada penguatkuasaan bagi memastikan `orang tengah’ tidak mengaut keuntungan berlebih-lebihan ketika mengenakan caj tapak bazar Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerajaan telah mengambil langkah untuk menurunkan kadar berkenaan bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Apa yang penting, kerajaan telah mengurangkan kadar caj tapak Bazar Ramadan. Kita akan buat penguatkuasaan untuk memastikan tiada `middle man‘ (orang tengah) bertindak sebagai ejen mengaut keuntungan,” ujar beliau.

Hannah menyatakan demikian ketika ditemui wakil media selepas merasmikan Karnival Kuala Lumpur Madani di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini hari ini sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Pada 23 Januari lalu, Hannah berkata, kadar sewa tapak bazar Ramadan tahun ini di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diturunkan daripada RM500 kepada RM400 untuk meringankan kos penjaja kecil.

Ujarnya, sebarang amalan sublet (menyewakan), jual beli tapak atau pengambilan untung berlebih-lebihan adalah dilarang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh bersama-sama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat reruai pameran ketika majlis pelancaran Karnival Madani Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di perkarangan Stadium Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 JANUARI 2026

 

Dalam ucapannya, Hannah berkata, karnival tiga hari hingga esok bukan sekadar acara kemasyarakatan, namun ia pendekatan turun padang kerajaan Madani membawa perkhidmatan, bantuan dan maklumat terus kepada rakyat Kerangka ekonomi madani telah menunjukkan hasil yang positif.

Ujarnya, dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, ribuan ketua isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar berdasarkan data eKasih.

Menurut Hannah, bagi menangani kos sara hidup, inisiatif MyGrocer kini beroperasi di ratusan lokasi menawarkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah dan telah diperluaskan ke Labuan.

“Dalam aspek perumahan, ribuan unit Residensi Madani dan Residensi Wilayah sedang dibina dan dibuka untuk permohonan bagi membantu warga kota memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Pada majlis itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Wilayah Persekutuan turut menyerahkan Skim Lindung Kendiri kepada lapan individu dan Skim Lindung Kasih kepada lima penerima berkelayakan.

Selain itu, sebanyak 1,000 unit bakul makanan keperluan asas disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada golongan asnaf dan miskin yang boleh dituntut di kaunter agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast