KUALA LUMPUR – Pas membidas bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang didakwa cuba mengheret parti itu sebagai pihak bersalah dalam kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) termasuk melabelkan Pas sebagai ‘kawan makan kawan’.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mengelirukan malah dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada punca sebenar krisis kepimpinan dalam PN.
Menurut beliau, kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang menyebut frasa your time is finished telah disalah tafsir apabila dikaitkan sebagai serangan terhadap Muhyiddin secara peribadi.
“Lepas sudah letak jawatan maka wajarlah masa anda sebagai Pengerusi (PN) telah berakhir. Tetapi kalau selepas meletak jawatan, anda masih cuba menguasai, mengawal organisasi, menentukan siapa pengganti dan lebih teruk ada usaha mengembalikan anda sebagai ketua, itulah maksudnya your time is finished,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Islam berkata demikian membidas kenyataan Marzuki yang menegaskan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Tertinggi PN (MT PN) walaupun surat peletakan jawatan telah dikemukakan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mengulas isu Perlis, beliau menegaskan, Pas tidak pernah menafikan wujud perselisihan dalaman parti itu namun menekankan krisis sebenar tercetus apabila Bersatu Perlis mengambil kesempatan dengan menghantar nama calon Menteri Besar tanpa merujuk kepada Pas sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak.
“Pas akui ada perselisihan dalaman Pas. Pas sedang menguruskan. Tapi yang jadi masalah adalah apabila Bersatu Perlis ambil kesempatan menghantar nama Menteri Besar,” ujarnya.
Beliau berkata, kegagalan menangani isu tersebut membuktikan kelemahan kawalan kepimpinan PN di peringkat pusat apabila tiada tindakan tegas diambil terhadap pimpinan Bersatu negeri.
“Apa tindakan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN? Nothing. Keluar kenyataan dia tak pernah arah sign SD (akuan bersumpah) dan tak pernah arah tarik sokongan kepada Menteri Besar Perlis daripada Pas,” katanya.
Menurut Nurul Islam, kegagalan itu memperlihatkan ketidakmampuan kepimpinan tertinggi PN mengawal komponennya sendiri sekali gus menjelaskan mengapa tekanan akar umbi semakin kuat agar Muhyiddin berundur.
Dalam masa sama, beliau menolak sindiran bahawa Pas kononnya tercari-cari sokongan atau endorsement daripada Muhyiddin sebaliknya menegaskan Pas bertindak demi kelangsungan gabungan itu.
“Marzuki anggaplah apa pun. Tetapi segala tindakan Pas dan pimpinannya adalah untuk selamatkan PN bagi memastikan PN dapat melalui proses rejuvenasi menuju Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.
Nurul Islam turut menegaskan tindakan menyalahkan Pas atas krisis PN adalah tidak adil dan tidak menyelesaikan masalah sebenar sambil mengingatkan bahawa hala tuju gabungan itu hanya dapat diperbetulkan melalui kepimpinan yang jelas tegas dan konsisten. – MalaysiaGazette

















Jangan guna nama Islam pada parti kamu boleh tak?
Guna nama lain supaya tindakan kamu dan pemimpin kamu tidak mencemar kemuliaan dan kesucian Islam.