P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat mendedahkan kelemahan Pas apabila parti itu gagal menampilkan tokoh berwibawa untuk mengisi kekosongan kepimpinan gabungan pembangkang berkenaan.

Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, meskipun Pas memiliki kelebihan daripada segi kekuatan pilihan raya, faktor itu sahaja tidak mencukupi untuk menerajui sebuah gabungan politik nasional yang berdepan cabaran kompleks.

Menurut beliau, landskap politik Malaysia khususnya di pihak pembangkang memerlukan kepimpinan yang terbukti berpengalaman serta mempunyai kebolehan mentadbir di peringkat nasional.

“Gabungan politik di Malaysia terutamanya gabungan pembangkang perlu diterajui oleh pemimpin yang memiliki kualiti kepimpinan yang terbukti serta pengalaman memegang jawatan di peringkat nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, berbanding Muhyiddin yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri, Pas tidak mempunyai pemimpin yang setara daripada segi pengalaman politik mahupun kelayakan kepimpinan untuk memimpin PN..

Mengulas pengunduran Muhyiddin, Ramasamy berkata, keputusan itu bukan sekadar langkah peribadi sebaliknya dipengaruhi kemelut politik di Perlis serta masalah dalaman yang semakin meruncing dalam Bersatu dan Pas.

“Peletakan jawatan tersebut telah mengganggu hala tuju politik PN khususnya pada saat persiapan sedang dijalankan bagi menghadapi pilihan raya negeri dan persekutuan yang akan datang,” ujarnya.

Beliau berpandangan, tindakan Muhyiddin berundur secara tidak langsung mencabar Pas untuk mengambil alih kepimpinan PN namun sehingga kini parti itu gagal menampilkan calon yang diyakini.

Menurut Ramasamy, walaupun Pas mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan orang Melayu-Islam, kelebihan itu masih belum mencukupi untuk membina kepimpinan gabungan yang berwibawa dan berkesan di peringkat nasional.

“Selepas peletakan jawatan Muhyiddin, jelas bahawa tiada pemimpin Pas yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau sebagai Pengerusi PN,” katanya, sambil menegaskan, kelemahan tersebut menjejaskan keupayaan PN sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast