Oleh: Intan Syazlina bt Mohd Ali
DALAM landskap kehidupan moden yang semakin kompleks dan tidak menentu, kejayaan anak-anak tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui pencapaian akademik. Realitinya, dunia dewasa hari ini menuntut lebih daripada kecemerlangan peperiksaan. Ia memerlukan daya tahan emosi, kebolehan menyesuaikan diri, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan berdikari. Kesemua ini terangkum dalam satu konsep penting yang semakin mendapat perhatian pakar pendidikan dan psikologi, iaitu survivor skill.
Survivor skill merujuk kepada set kemahiran hidup yang membolehkan individu menghadapi cabaran, tekanan dan ketidaktentuan dengan berkesan. Ia merangkumi kebolehan mengurus emosi, membuat keputusan, mengatasi kegagalan, mengurus kewangan asas serta membina hubungan sosial yang sihat.
Menurut kajian oleh American Psychological Association (APA), individu yang memiliki daya ketahanan atau resilience yang tinggi lebih mampu mengatasi tekanan hidup dan menunjukkan pencapaian kerjaya yang lebih stabil dalam jangka panjang. Namun, persoalan besar hari ini ialah sejauh mana anak-anak kita benar-benar dibekalkan dengan kemahiran ini sejak kecil?
Fenomena keibubapaan moden menunjukkan kecenderungan ibu bapa untuk terlalu melindungi anak daripada kesusahan. Segala masalah cuba diselesaikan oleh orang dewasa, kegagalan cepat ditebus, dan kesilapan sering dielakkan. Walaupun niatnya berasaskan kasih sayang, pendekatan ini secara tidak langsung membantutkan proses pembelajaran semula jadi anak untuk berdikari dan membina ketahanan diri.
Anak yang dibiasakan mengharungi kesukaran kecil akan lebih bersedia menghadapi tekanan besar apabila dewasa. Di sinilah peranan ibu bapa menjadi sangat signifikan. Pembinaan survivor skill tidak berlaku melalui ceramah atau nasihat semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman hidup harian. Memberi anak tanggungjawab mengurus tugasan sendiri, membenarkan mereka membuat keputusan kecil, dan membiarkan mereka merasai akibat daripada pilihan yang dibuat merupakan latihan penting untuk kehidupan.
Contohnya, anak yang diberi kebebasan mengurus wang saku akan belajar tentang keutamaan dan nilai tanggungjawab kewangan. Anak yang mengurus jadual belajar sendiri akan membina disiplin dan kecekapan masa. Anak yang menyelesaikan konflik rakan sebaya tanpa campur tangan segera ibu bapa akan belajar kemahiran komunikasi dan empati. Semua ini membentuk asas ketahanan diri yang kukuh. Namun, proses ini menuntut keberanian ibu bapa untuk melepaskan anak secara berperingkat. Melepaskan tidak bermaksud mengabaikan, tetapi memberi ruang sambil terus membimbing dan memantau.
Ibu bapa bertindak sebagai penyokong, bukan penyelamat setiap kali anak berdepan kesukaran. Kajian dalam bidang pendidikan progresif menunjukkan kanak-kanak yang dibenarkan meneroka dan menyelesaikan masalah sendiri mempunyai tahap keyakinan diri dan kemahiran membuat keputusan yang lebih tinggi apabila dewasa. Mereka juga lebih cekal menghadapi kegagalan kerana telah biasa melihat cabaran sebagai proses pembelajaran, bukan ancaman.
Sebaliknya, anak yang terlalu dilindungi cenderung mengalami kebimbangan melampau, kurang yakin dan sukar menyesuaikan diri dengan tekanan realiti kehidupan. Fenomena ini turut dikaitkan dengan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja dan dewasa muda. Dalam konteks dunia hari ini yang sarat dengan persaingan, perubahan teknologi pantas dan kos sara hidup yang meningkat, keupayaan untuk bertahan dan menyesuaikan diri menjadi aset terpenting seseorang individu. Anak-anak kita bakal berdepan pekerjaan yang mungkin belum wujud hari ini, struktur ekonomi yang berubah dan cabaran sosial yang lebih kompleks.
Tanpa survivor skill, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kesejahteraan hidup. Oleh itu, ibu bapa perlu melihat proses mendidik anak sebagai persediaan jangka panjang untuk dunia sebenar, bukan sekadar memastikan mereka selamat dan selesa sepanjang zaman kanak-kanak. Memberi peluang anak menghadapi kesusahan kecil hari ini adalah pelaburan untuk kekuatan besar pada masa hadapan.
Kasih sayang yang matang bukanlah melindungi anak daripada semua kesukaran, tetapi membekalkan mereka dengan keupayaan untuk menghadapinya. Akhirnya, kejayaan sebenar seorang ibu bapa bukan diukur melalui sejauh mana anak bergantung kepada kita, tetapi sejauh mana mereka mampu berdiri sendiri dengan yakin, matang dan berdaya tahan.
Anak yang memiliki survivor skill akan lebih bersedia menempuh liku kehidupan dewasa dengan kebijaksanaan dan kekuatan dalaman. Dalam dunia yang tidak menjanjikan kemudahan, ketahanan diri adalah bekal paling bernilai yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Penulis dari Fakulti Undang-Undang
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
















