Pertandingan bola sepak berjalan kategori perempuan.

KUALA LUMPUR – Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu  menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Berjalan Sekolah Rendah Daerah Bangsar Pudu 2026, baru-baru ini bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan inklusif.

Pertandingan ini memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah untuk mengenali serta menyertai sukan bola sepak berjalan, satu bentuk sukan adaptif yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Pengarah UMCares, Prof. Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad berkata, kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen mereka untuk membawa perubahan positif dalam komuniti, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.

Manakala, Ketua Program Pengenalan Sukan Baharu Sukan Bola Sepak Berjalan, Dr Muhammad Kashani Mohd Kamil pula percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk bersukan, tanpa mengira tahap kecergasan atau latar belakang mereka.

“Pertandingan ini boleh menjadi batu loncatan bukan sahaja dilaksanakan di peringkat daerah, malah di peringkat negeri dan menjadi salah satu agenda kebangsaan”, katanya lagi.

Bola sepak berjalan merupakan sukan berintensiti rendah yang direka untuk mengurangkan risiko kecederaan, menjadikannya selamat dimainkan oleh semua peringkat umur.

Program ini telah mula dilakukan sejak Julai 2025 dengan memperkenalkan dan melatih guru-guru memahami peraturan bola sepak berjalan, sekali gus mempraktikkan di sekolah masing-masing.

Peraturan permainan yang diubah suai memastikan aktiviti ini sesuai untuk murid yang baru berjinak-jinak dengan sukan, tanpa tekanan kompetitif yang berlebihan.

Program ini telah dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih di bawah PPD Bangsar Pudu, dengan sokongan tenaga pengajar, jurulatih berpengalaman serta pakar perubatan daripada Universiti Malaya.

Watson Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan dana dan barangan kebersihan kesihatan bagi memastikan keberkesanan program ini.

Selain itu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Institut Termaju UM masing-masing turut membantu dari aspek promosi di media sosial dan hidup sisa plastik.

Inisiatif ini memberi tumpuan khusus kepada murid sekolah rendah tahun 4 hingga tahun 6, lelaki dan perempuan yang mempunyai masalah berat badan dan belum berpeluang mewakili sekolah masing-masing dalam mana-mana acara sukan.

Murid-murid yang terpilih turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan berdasarkan agenda negara termasuk pemeriksaan Segak (Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan), analisis komposisi badan, dan pemeriksaan jantung Elektrokardiografi (ECG).

Dengan pendekatan yang mesra, program ini dapat membuka ruang kepada murid-murid untuk aktif bersukan, meningkatkan keyakinan diri, serta membina semangat berpasukan disamping menekankan aspek kesihatan jantung, kecergasan fizikal, dan kesejahteraan mental melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mudah diikuti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast