ISKANDAR PUTERI – Polis menahan empat mat rempit termasuk remaja kerana melakukan aksi berbahaya dan membahayakan pengguna jalan raya lain dalam Op Motosikal di Kilometer 9, Lebuhraya Linkedua di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri memberkas mereka dalam operasi tersebut bermula dari pukul 1 hingga 4 pagi.
“Operasi tersebut diadakan pada arah utara/arah ke Pulai Jaya. Hasil operasi tersebut seramai empat lelaki berusia 18 hingga 21 tahun ditahan kerana melakukan aksi berbahaya dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Sebanyak empat buah motosikal disita. Selain itu lapan keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu dan lain-lain lagi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM2,0000 serta lesen digantung selama dua tahun.
Dalam pada itu, Kumarasan menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau pergerakan anak-anak terutama mereka terutama mereka yang keluar rumah menggunakan motosikal.
“Ini bagi mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan kegiatan sameng jalanan yang lebih berisiko untuk menyebabkan kematian,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi tersebut akan dilakukan untuk mencegah aktiviti lumba haram untuk memastikan ketenteraman awam terjaga.- MalaysiaGazette
















