KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan pelantikan serta perubahan portfolio beberapa Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (TKPE) berkuat kuasa 1 Februari 2026 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus, integriti dan keberkesanan organisasi.
Menurut HASiL, keputusan yang dibuat oleh pengurusan tertinggi itu turut bertujuan membangunkan kepimpinan selain memastikan kesinambungan organisasi melalui perkongsian kepakaran serta perspektif baharu dalam pengurusan.
Sehubungan itu, Datuk Hisham Rusli yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar).
Sementara itu, Datuk Khairul Halimin Abdul Halim yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) kini dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas).
Perubahan turut melibatkan Shaharrudy Othman apabila beliau bertukar portfolio daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan).
Selain itu, Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah pula berpindah portfolio daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan).
HASiL memaklumkan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 bagi panggilan dari luar negara, menggunakan perkhidmatan HASiL Live Chat atau mengemukakan maklum balas menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL. — MalaysiaGazette
















