KUALA LUMPUR – Hasrat pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, untuk merangkul gelaran Thailand Masters tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri pada perlawanan akhir akibat keletihan di Bangkok, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-68 dunia itu gagal meneruskan perlawanan menentang wakil India, Devika Sihag, selepas tewas 21-8 pada set pertama.
Pada set kedua, Jin Wei yang jelas keletihan terpaksa menghentikan aksi apabila memberi isyarat kepada pengadil bahawa beliau tidak mampu meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 6-3.
Walaupun terpaksa akur menarik diri, pencapaian Jin Wei tetap dianggap membanggakan apabila muncul sebagai pemain perseorangan wanita Malaysia pertama yang berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan Super 300 dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam perjalanan ke final, Jin Wei mempamerkan aksi meyakinkan apabila menyingkirkan dua rakan senegara, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching. – MalaysiaGazette
















