Lim Han Boon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan mengapa kos pembinaan sebuah bilik darjah sahaja, yang dilengkapi dengan kemudahan pengajaran asas dan berukuran kira-kira 90 meter persegi, boleh menelan belanja sehingga RM520,000.

Penjelasan itu perlu kerana jumlah berkenaan setara dengan unit rumah mampu milik Rumah Selangorku bersaiz sama, yang dijual antara RM100,000 hingga RM300,000.

Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Petaling Jaya, Lim Han Boon mendakwa, kos pembinaan yang tinggi itu sememangnya menimbulkan kebimbangan awam, apatah lagi, bilik darjah standard untuk 40 pelajar berukuran kira-kira 90 meter persegi, atau lebih kurang 969 kaki persegi.

Menurutnya, berdasarkan anggaran KPM sebanyak RM520,000, beliau mengandaikan kos pembinaan sekitar RM536.77 bagi setiap kaki persegi.

“Bukan sahaja ia jauh melebihi kos biasa pembinaan rumah rendah hingga sederhana, malah ia cukup untuk membeli sebuah pangsapuri berharga sederhana di beberapa kawasan di Lembah Klang,” katanya.

Respons itu susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa kos pembinaan bilik darjah antara 2021 dan 2026 berada dalam lingkungan RM280,000 hingga RM520,000 setiap unit, berbanding RM180,000 hingga RM250,000 bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Han Boon berkata, kos yang dimaklumkan oleh KPM itu sukar diterima kerana ia adalah bilik darjah asas – empat dinding, pintu dan tingkap, pencahayaan, kipas, sistem elektrik sederhana dan lantai simen.

Kos itu tidak melibatkan kemasan mewah atau struktur yang kompleks.

“Jadi bagaimana boleh tiba pada angka yang luar biasa tinggi ini?,” soal beliau.

Han Boon mengakui inflasi global dan kenaikan harga bahan mentah telah mendorong kos pembinaan meningkat, tetapi hujahnya kenaikan dua kali ganda dalam lima tahun itu melebihi apa yang boleh dijelaskan oleh keadaan pasaran semata-mata.

Katanya, walaupun Fadhlina menyebut angka itu termasuk koridor, tangga, tandas dan ruang sampingan lain, serta yuran profesional dan pembangunan, namun,kementerian masih belum memberi justifikasi yang jelas bagi asas pengiraan kos tersebut.

“Apabila pemaju swasta boleh membina rumah yang memenuhi standard keselamatan pada kos per kaki persegi yang jauh lebih rendah, adalah wajar bagi orang ramai untuk bertanya mengapa kerajaan membayar jauh lebih tinggi untuk sebuah bilik darjah,” katanya, sambil menambah perkara ini menimbulkan persoalan tentang perancangan projek, proses tender dan kawalan kos dalam kementerian.

Oleh itu, beliau menyeru KPM mendedahkan secara telus pecahan penuh bagaimana angka RM520,000 itu diperoleh, termasuk bahagian yang diperuntukkan untuk bahan, buruh, perkhidmatan profesional dan perbelanjaan pentadbiran.

Kementerian harus mendedahkan maklumat tender pembinaan bilik darjah dalam lima tahun kebelakangan ini, berserta senarai kontraktor berjaya dan perbandingan harga bidaan, bagi membuktikan proses itu kompetitif dan telus.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara, dan bilik darjah adalah tempat di mana anak-anak kita menghabiskan sebahagian besar hari persekolahan mereka. Pembinaannya harus berpandukan kepraktisan, keselamatan dan perbelanjaan berhemah.

“Apabila kos sebuah bilik darjah asas mula menandingi harga pangsapuri swasta, kita bukan sekadar menghadapi inflasi. Ia menjadi tanda amaran bahawa mungkin ada masalah struktur dalam cara dana awam diuruskan,” tambah beliau.

Han Boon mengingatkan, sumber negara adalah hasil kerja keras pembayar cukai, dan setiap ringgit yang diperuntukkan untuk pendidikan harus digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran, kebajikan guru dan kemudahan sekolah dan bukannya hilang kepada kos pembinaan yang berlebihan.

“Kami tidak akan berdiam diri dan membiarkan perbelanjaan boros atas nama pendidikan menghakis persekitaran pembelajaran berkualiti yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lagi PMX dan SPRM bertegas dlm menentang ketirisan melampau isu RASUAH, makin bertambah gila malah tidak akal mengenai peruntukan untuk melaksanakan projek untuk rakyat..
    KENAPA MASIH ADA LAGI KAKI SAKAU..

Comments are closed.