GEORGE TOWN – Tahap keselamatan dan ketenteraman awam bagi sambutan Thaipusam di Pulau Pinang disifatkan lebih baik tahun ini, apabila tiada sebarang insiden dilaporkan setakat ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, keadaan itu hasil perancangan keselamatan rapi pihaknya serta kerjasama yang baik daripada orang awam sepanjang sambutan berlangsung walaupun kehadiran penganut dan pengunjung semakin meningkat.
Katanya, bagi memastikan keselamatan awam serta kelancaran trafik sepanjang perayaan, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis digerakkan secara berperingkat dan bertugas sepanjang masa sehingga malam esok.
Beliau berkata, pasukan keselamatan termasuk Light Strike Force (LSF) turut berada dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan bagi tujuan kawalan tambahan.
“Alhamdulillah, setakat pagi ini sambutan Thaipusam di Pulau Pinang berjalan dengan aman dan terkawal. Kami tidak menerima sebarang laporan setakat ini.
“Berdasarkan penilaian kami, tahap ketenteraman awam dan keselamatan adalah lebih baik pada tahun ini dan kami tidak menjangkakan sebarang isu besar. Namun, kami sentiasa bersedia.

“Selain itu, anggota polis juga ditugaskan secara 24 jam sehingga malam esok bagi memastikan kawalan keselamatan dan trafik berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas mengadakan lawatan ke ‘Thaneer Panthal’ serta program kepolisan komuniti sempena Thaipusam di Jalan Air Terjun di sini hari.
Menurut Azizee, pihak polis menganggarkan kira-kira 200,000 penganut dan pengunjung telah menghadiri sambutan setakat ini, dengan jumlah itu dijangka meningkat sehingga sekitar 500,000 orang menjelang kemuncak perayaan.
“Kehadiran orang ramai tidak statik kerana mereka datang dan pergi, namun kehadiran keseluruhan dijangka memuncak pada sebelah petang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azizee berkata, sebanyak 182 thanneer panthal beroperasi sepanjang sambutan dan kesemuanya memiliki permit sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Justeru Azizee mengingatkan penganjur dan pengusaha gerai supaya mematuhi syarat permit, termasuk menghentikan semua muzik selewat-lewatnya jam 11 malam.
“Kegagalan mematuhi syarat ini merupakan pelanggaran permit yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil.
“Keutamaan kami adalah memastikan ketenteraman awam dan keselamatan sepanjang sambutan Thaipusam 2026,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lebih sejuta penganut Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam, kata Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) Dr R Lingeshwaran. – MalaysiaGazette
















