BANGI – Status Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Mohd Ridzuan Hashim sebagai wakil rakyat Pas kekal gugur walaupun permohonan mereka untuk menyertai semula parti itu diterima susulan keterikatan dengan Akta Lompat Parti.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata, pengguguran status ketiga-tiga bekas ADUN Pas itu terus terpakai selaras dengan perlembagaan parti yang mengambil kira peruntukan Akta Lompat Parti.
“Walaupun keahlian mereka (ADUN Chuping, Saad; ADUN Bintong, Fakhrul dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan) diterima semula selepas ini, status mereka sebagai ADUN Pas kekal gugur.
“Ia selaras dengan perlembagaan parti yang terkait dengan Akta Lompat Parti. Jika melakukan apa-apa kesalahan maka akan tergugur dengan sendiri keahlian,” katanya ketika ditemui selepas program Pemukiman Pas secara tertutup di sebuah hotel di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad yakin permohonan tiga ADUN berkenaan untuk menyertai semula Pas akan menerima maklum balas positif daripada pucuk pimpinan pusat.
“Saya sebelum ini juga telah bertemu dengan ketiga-tiga ADUN berkenaan dan memberikan nasihat serta teguran supaya kesilapan sama tidak berulang,” katanya.
Terdahulu, Majlis Syura Ulama Pas menerima permohonan tiga Adun Perlis itu untuk menyertai semula parti.
Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Yahaya memaklumkan, permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pas untuk pertimbangan Pas Pusat.
Pada 24 Disember lalu, Pas menggantung serta-merta keahlian tiga Adun berkenaan selepas mereka bersama lima wakil rakyat Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis ketika itu, Shukri Ramli.
Mengulas lanjut, Ahmad Ali mengakui kemelut politik di Perlis masih belum diselesaikan sepenuhnya namun proses penstrukturan semula kepimpinan negeri telah dilaksanakan.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan parti boleh memberi tumpuan kepada persiapan Pilihan Raya Umum serta usaha memperkukuh Pas,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya wujud pertembungan antara pimpinan Majlis Syura Ulama yang diterajui Mursyidul Am, Hashim Jasin dengan Pas Pusat di bawah kepimpinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Dakwaan itu tidak benar dan tidak berbangkit. Tiada sebarang pertembungan berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















