KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Pas pada 27 Januari lalu menerima rayuan yang dikemukakan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang dipecat sebelum ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, rayuan itu melibatkan ADUN Chuping, Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).
Jelas beliau, penerimaan kembali tiga ADUN Pas itu adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya berdasarkan perintah al-Quran yang menekankan kepada ukhuwah dan persaudaraan bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang.
“Rahmat Allah SWT dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujar beliau, penerimaan semula tiga ADUN Pas berkenaan berdasarkan manhaj Rasulullah SAW yang mana dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadith al-Ghamidiyyah dan Juhainah.
Selain itu, kataya, kaedah Fiqh pula menyebutkan `kemudaratan hendaklah dihilangkan’ yang mana apabila tiga kawasan DUN tiada wakil rakyat berfungsi maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas.
Sehubungan itu, tambahnya, kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti.
“Siasah syar‘iyyah matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jamaah.
“Rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti,” katanya.
Tegas beliau, Pas adalah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulamak dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara perlembagaan supaya dasar Pas dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran Pas.
“Majlis Syura Ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli Pas yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan, ulamak tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, keahlian tiga ADUN Perlis itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis ketika itu, Mohd Shukri Ramli.
Menurut Abdul Hadi, ketetapan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu, 24 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette
















