Seramai 45 warga asing ditahan Penguat Kuasa JIM Johor dalam serbuan di rumah kedai di Senai, Johor Bahru semalam.

KULAI – Cubaan beberapa pekerja kedai makan warga asing melarikan diri dan bersembunyi dalam tandas gagal apabila berjaya diberkas menerusi serbuan di rumah kedai di Senai, dekat sini semalam.

Ops Sapu yang melibatkan 27 pegawai Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilakukan pukul 1.05 pagi dan seramai 45 warga asing dari pelbagai negara ditahan.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan bekerja di rumah kedai tersebut.

“Mereka bekerja secara haram di kedai-kedai makan di kawasan tersebut. Operasi dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Serbuan mengejut dilakukan ketika kesemua warga asing berkenaan sedang berehat di premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal.

“Terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas, namun kesemua mereka berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Rusdi berkata, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki Myanmar, empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan, masing-masing seorang lelaki India dan Nepal serta 11 wanita Myanmar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selain didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast