Tangkap layar menunjukkan kebakaran berlaku yang dipercayai akibat letupan belon helium manakala gambar bawah keadaan pacuan empat roda MBPP akibat kejadian tersebut.

GEORGE TOWN – Dua anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengalami kecederaan selepas belon helium yang disita daripada penjaja haram meletup dan mencetuskan kebakaran, malam tadi.

Kejadian berlaku di Ibu Pejabat Bahagian Perlesenan MBPP di Lebuh Union di sini, kira-kira jam 10.45 malam ketika anggota Bahagian Perlesenan itu sedang menurunkan belon helium yang diletakkan di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda milik MBPP.

Difahamkan, belon helium berkenaan disita dalam operasi terhadap penjaja haram di tapak perayaan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga di sini, sebelum dibawa ke ibu pejabat MBPP.

Belon helium tersebut dipercayai meletup secara tiba-tiba lalu mencetuskan api hingga menyebabkan pacuan empat roda berkenaan turut mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

Impak kejadian itu turut menyebabkan dua anggota yang berada berhampiran mengalami kecederaan melecur.

Vest reflektif dipakai salah seorang mangsa turut terbakar akibat kejadian.

Seorang mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi berusia 29 tahun dipercayai melecur bahagian badan dan tangan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan dua individu terlibat dalam insiden tersebut dan seorang daripadanya dimasukkan ke wad hospitak untuk rawatan lanjut.

”MBPP akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video menunjukkan sebuah pacuan empat roda milik MBPP terbakar akibat letupan belon helium. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast