Seorang warganegara Perancis ditahan selepas cuba menyeludup hidupan liar disyaki tanduk dan tengkorak rusa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di Sepang, pada Ahad.

SEPANG – Cubaan warganegara Perancis menyeludup hidupan liar disyaki tanduk dan tengkorak rusa bernilai RM3,000 berjaya ditumpaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, cubaan itu dipatahkan hasil pemeriksaan bagasi melibatkan seorang penumpang penerbangan AirAsia yang dijadualkan berlepas ke Hanoi, Vietnam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Perancis membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah.

“Antara barangan yang disita ialah dua tanduk dan satu tengkorak rusa dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM3,000,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis bagi siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Katanya lagi, kesemua dua barang haiwan liar itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

“AKPS menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.

“Ini termasuklah jenayah pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast