Charles Santiago. foto NOOREEZA HASHIM, 14 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan peningkatan kadar terencat pertumbuhan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia sebagai bukti jelas kegagalan dasar, walaupun negara terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif.

Beliau berkata isu terencat pertumbuhan bukan sekadar masalah kesihatan awam, sebaliknya kecemasan nasional yang menjejaskan masa depan generasi akan datang.

“Apabila kanak-kanak membesar dalam keadaan terencat pertumbuhan akibat kekurangan zat makanan, kesannya bukan sementara.

Ia menjejaskan perkembangan fizikal, kognitif dan keupayaan pembelajaran mereka sepanjang hayat,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Kata Charles lagi, data menunjukkan kadar terencat pertumbuhan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun meningkat daripada 20 peratus pada tahun 2000 kepada 24 peratus ketika ini.

“Lebih membimbangkan, negara membangun lain dengan kadar pertumbuhan ekonomi hampir sama dengan Malaysia berjaya mengekalkan kadar terencat pertumbuhan di bawah 10 peratus.

“Ini jelas menunjukkan masalahnya bukan kekurangan sumber, tetapi kegagalan dasar,” ujarnya.

Beliau menegaskan, masalah itu berpunca daripada faktor struktur termasuk kemiskinan, ketidakjaminan makanan, pemakanan ibu yang tidak mencukupi, akses kesihatan yang tidak seimbang serta jurang ketidaksamaan sosial.

“Ini bukan kegagalan perubatan atau genetik. Ini kegagalan tadbir urus dan pilihan dasar yang dibuat,” katanya.

Charles turut mempersoalkan keutamaan perbelanjaan negara yang menurutnya lebih tertumpu kepada projek mega, bantuan korporat dan infrastruktur berprestij, sedangkan isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak masih berlarutan di bandar dan luar bandar.

“Apabila pembangunan diukur melalui pencakar langit, tetapi bukan melalui kanak-kanak yang sihat, maka takrif kemajuan negara itu sendiri sudah rosak,” tegasnya lagi.

Beliau berkata golongan paling terkesan ialah keluarga berpendapatan rendah, pelarian, komuniti migran, golongan tanpa dokumen, masyarakat Orang Asli serta penduduk bandar miskin yang sering terpinggir daripada perancangan dasar.

“Anak-anak ini menanggung kesan ketidaksamaan pada tubuh mereka, sementara perbahasan dasar berlaku jauh daripada realiti kehidupan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Charles menegaskan isu terencat pertumbuhan perlu dianggap sebagai isu keselamatan negara kerana implikasinya terhadap pencapaian pendidikan, produktiviti tenaga kerja, kos kesihatan serta daya tahan ekonomi jangka panjang.

“Generasi yang membesar dalam keadaan terencat pertumbuhan akan melemahkan negara secara struktur,” ujarnya.

Beliau berkata peningkatan kadar terencat pertumbuhan sepatutnya menjadi tamparan kepada semua institusi berkaitan termasuk kesihatan, pendidikan, kebajikan dan perancangan ekonomi.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya membayar harga atas kegagalan dasar. Apa yang diperlukan ialah tindakan segera dan bersepadu, daripada program pemakanan dan penjagaan kesihatan ibu sehinggalah jaminan pendapatan serta akses makanan,” katanya.

Charles menegaskan Malaysia tidak memerlukan satu lagi laporan, jawatankuasa khas atau sidang media, sebaliknya tindakan dasar yang tegas dan berkesan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast