Petugas Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) berkongsi detik cemas ketika berusaha menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemui lemas dalam kolam dewasa kolam air panas di Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Petugas Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) berkongsi detik cemas ketika berusaha menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemui lemas dalam kolam dewasa kolam air panas di sini, malam tadi.

Nor Azura Tamsir, 35, berkata ketika kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, dia baru memulakan tugas pada jam 7 malam sebelum terdengar jeritan orang awam meminta bantuan perubatan dari arah kolam dewasa.

“Saya terdengar orang menjerit panggil ‘medik’ sebelum seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun sedang menarik mangsa ke tepi kolam.

“Dalam keadaan cemas itu, saya terus berikan bantuan pernafasan kecemasan terhadap mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri dan mulutnya sudah berbuih ,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/02/02/budak-lelaki-6-tahun-lemas-di-kolam-air-panas-di-melaka/

Menurutnya, dia berusaha menyelamatkan mangsa dengan melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebanyak tiga kali kitaran.

“Namun mangsa masih tidak menunjukkan sebarang tindak balas sehinggalah beberapa individu mungkin ahli keluarga mangsa datang meraung melihat keadaan mangsa.

“Sebelum kejadian, saya ada menegur beberapa pengunjung lain supaya sentiasa mengawasi kanak-kanak namun tak sangka pula mangsa lain terlibat,” katanya.

Menurutnya, di lokasi kejadian hanya terdapat sebuah kolam kanak-kanak dan sebuah kolam dewasa dengan kolam dewasa berkedalaman kira-kira 1.2 meter.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan selepas ambulans Hospital Alor Gajah tiba di lokasi namun disahkan meninggal dunia.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di kolam dewasa kolam air panas berkenaan kira-kira jam 7.40 malam tadi

Mangsa berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah, Pahang datang bercuti ke Melaka bersama keluarganya di pusat rekreasi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast