KUALA LUMPUR – Sebuah bilik di Blok 6, tingkat tiga, PPR Desa Tun Razak di sini terbakar kira-kira 40 peratus dalam kejadian pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 8.37 pagi sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba yang terdiri daripada tujuh anggota pelbagai pangkat bersama sebuah jentera FRT-1 tiba di lokasi pada pukul 8.48 pagi.
Komander Operasi, PBK I Saharifudin Md Shah berkata, kebakaran melibatkan sebuah bilik berkeluasan kira-kira 10 x 15 kaki persegi.
“Anggaran kebakaran adalah sekitar 40 peratus dan berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.18 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. – MalaysiaGazette
















