KEPALA BATAS – Sebarang keputusan berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat di negeri ini bukan dibuat secara individu sebaliknya melalui perbincangan dan persetujuan bersama jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), tegas Yang Dipertuanya, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian susulan Pas Pulau Pinang mendesak beliau meletakkan jawatan serta-merta sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Mohamad berkata, siasatan yang sedang dijalankan tidak terarah kepada beliau seorang sahaja sebaliknya turut melibatkan institusi MAINPP secara keseluruhan.
“Keputusan yang dibuat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan adalah hasil proses yang melibatkan jawatankuasa serta MAINPP.
“Di MAINPP, keputusan berkaitan zakat akan diputuskan di peringkat jawatankuasa sebelum diangkat ke lembaga pengarah. Maka keputusan yang dibuat adalah keputusan bersama yang saya pengerusikan. Maknanya, ia bukan keputusan individu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sebuah hotel Bertam di sini hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I menjelaskan, proses pembelian tanah adalah berdasarkan keputusan lembaga pengarah zakat berkaitan bantuan kepada asnaf termasuk pembelian tanah menggunakan dana wakaf dan tanah lebihan.
“Keputusan tersebut turut melibatkan persetujuan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri selain 17 ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan 15 ahli lembaga pengarah zakat.
“Keputusan dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah mengikut urus tadbir yang jelas dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik (good governance). Namun, isu yang dibangkitkan seolah-olah bertujuan mewujudkan persepsi negatif,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Beli tanah guna dana zakat: SPRM akan rakam keterangan beberapa individu
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan beliau masih belum dipanggil SPRM namun bersedia memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.
“Saya bersedia untuk dipanggil dan memberi kerjasama kerana saya percaya siasatan akan dijalankan secara telus,” katanya.
Media melaporkan SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.
“Pasukan siasatan telah hadir ke beberapa buah pejabat yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dan kini semuanya dalam kajian.
Selain itu, SPRM juga telah merakam percakapan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya. – MalaysiaGazette
















