Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bercakap pada sidang media selepas menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan SPRM di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Kajian pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kaedah pelantikan Datuk Bandar bukan dijalankan oleh mana-mana pemimpin DAP, sebaliknya dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), jelas Hannah Yeoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, kajian tersebut dibuat berasaskan keperluan semasa susulan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang pernah dibentangkan oleh seorang Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dalam sidang Parlimen sebelum ini.

“Jangan takut dengan kajian ini. Kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa UIA sebuah universiti berprestij. Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP. Ini adalah Universiti Islam Antarabangsa yang saya yakin kajian mereka berkualiti,” katanya dalam sidang media di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Menurut Hannah, kajian itu bukan baharu dimulakan, sebaliknya telah berjalan sejak Disember lalu namun setakat ini pihaknya masih belum menerima hasil penuh kajian tersebut.

Tambahnya, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT hanya akan dibuat selepas dapatan kajian diperolehi dan dibentangkan ke Kabinet untuk dibuat penilaian secara menyeluruh.

“Selepas kita dengar kajian, boleh buat, tak boleh buat, baru kita akan sediakan kertas kabinet untuk maklumkan kepada kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan nak pindah akta atau tidak pindah akta,” katanya.

Sehubungan itu, Hannah menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan atau kenyataan berkaitan pelaksanaan pilihan raya PBT pada masa ini.

Beliau menambah, kerajaan komited untuk memastikan setiap dasar yang dipertimbangkan dibuat berdasarkan kajian, fakta dan proses tadbir urus yang betul.

Sebelum ini, Hannah berkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Katanya, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

Semalam, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan setakat ini, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Saleh turut berkata tiada keperluan untuk mewujudkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut beliau, keperluan yang lebih mendesak di ibu negara adalah untuk menyelesaikan masalah miskin bandar serta isu perumahan mampu milik, bukannya sekadar memperkenalkan pilihan raya pihak PBT atau pilihan raya Datuk Bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast