MELAKA – Kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat lima kali ganda berbanding tempoh sama Januari tahun lalu, dipercayai berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang membuang puntung rokok serta melakukan pembakaran sampah tanpa kawalan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, pihaknya merekodkan 285 kes kebakaran terbuka sepanjang Januari lalu, berbanding hanya 57 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, kes-kes berkenaan melibatkan kebakaran lalang, kebun, kawasan hutan serta sampah.

“Kebakaran terbuka ini sukar berlaku secara sendiri kerana mesti ada pencetus dan antara puncanya adalah sikap masyarakat, termasuk aktiviti merokok kerana kebanyakan kebakaran berlaku di tepi jalan.
“Pengguna jalan raya yang membuang puntung rokok, ditambah dengan cuaca berangin boleh menyebabkan bara api merebak dan mencetuskan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Tahun 2026 di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd. Zaidi berkata, aktiviti pembersihan tanah, pembakaran sisa pertanian serta pembukaan ladang baharu turut menyumbang kepada peningkatan kes kebakaran terbuka.
“Ada pengusaha yang membakar sisa dan meninggalkannya sehingga petang, menyebabkan api semakin marak.
“Ini dapat dilihat apabila kita juga menerima aduan kerana bara api daripada pembakaran ini boleh merebak jauh dan mencetuskan kebakaran di kawasan lain,” katanya.
Tambah beliau, meskipun negara dijangka berada dalam fasa Monsun Timur Laut sehingga Mac, keadaan cuaca yang lebih kering dan panas ketika ini meningkatkan lagi risiko kebakaran terbuka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan serta sentiasa berwaspada dalam semua aktiviti yang melibatkan api, termasuk ketika menjalankan aktiviti perkhemahan. – MalaysiaGazette
















