Lokasi kejadian nahas mengorbankan penunggang motosikal, Nur Hafiz Mizal, 21, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Duyong selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di Tengkera, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Perjalanan pulang seorang penunggang motosikal ke rumah selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berakhir tragedi dalam nahas di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin dekat Taman Semabok Perdana di sini pagi tadi.

Lebih memilukan, mangsa, Nur Hafiz Mizal, 21, baharu sahaja empat bulan menimang cahaya mata sebelum terlibat nahas yang meragut nyawanya kira-kira 8.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pekerja kilang itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa baru selesai menghantar isterinya ke tempat kerja di Tengkera dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Duyong.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di hadapannya telah mengubah haluan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

“Keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, kering dan cuaca baik dengan pencahayaan jelas, selain tiada rakaman kamera papan pemuka diperoleh daripada kenderaan terlibat.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta, wanita berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast