Mohd. Zaidi Ma’at

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka terpaksa menggantikan penutup besi kebuk pili bomba dengan binaan batu dan simen susulan kejadian kecurian serta vandalisme yang kerap berlaku.

Pengarah JBPM Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, tindakan itu jika tidak dilaksanakan boleh menjejaskan kesiapsiagaan operasi kecemasan.

Menurutnya, pili bomba perlu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan, terutama ketika tempoh kritikal lima minit pertama operasi pemadaman kebakaran.

“Pemeriksaan mendapati banyak penutup kebuk pili bomba daripada besi hilang dipercayai akibat vandalisme dan kecurian, menyebabkan kebuk terbuka serta berisiko rosak atau tidak boleh digunakan ketika kecemasan.

“Jadi, pegawai dan anggota kami menutup kebuk tersebut menggunakan simen dan batu dengan harapan ia lebih kekal dan tidak lagi menjadi sasaran pencuri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 JBPM Melaka di Bukit Katil, di sini semalam.

Menurut Mohd. Zaidi, Melaka ketika ini mempunyai lebih 18,000 unit pili bomba melibatkan pili awam dan swasta, namun 1,122 unit dikenal pasti mengalami pelbagai bentuk kerosakan, termasuk penutup kebuk yang hilang.

“Pili bomba awam yang dicat merah berada di bawah seliaan JBPM, manakala pili bomba swasta berwarna kuning menjadi tanggungjawab pemilik premis masing-masing.

“Kerja-kerja penutupan kebuk menggunakan batu dilaksanakan secara berperingkat hasil pemantauan anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat di setiap kawasan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kecurian penutup kebuk kerana kebanyakan pili bomba terletak di kawasan terpencil dan tidak dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Bagi pili bomba yang berada di premis berhampiran, notis akan dikeluarkan kepada pemilik untuk melaksanakan pembaikan segera.

“Manakala di kawasan perumahan dan tepi jalan, kita melibatkan Ikatan Relawan Rukun Tetangga (IKRT) serta komuniti setempat sebagai mata dan telinga bomba bagi memantau keadaan pili dan melaporkan sebarang kerosakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast