Ramlan Meon

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Faisal Ismail Aziz yang mencadangkan agar Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletak jawatan disifatkan sebagai lambang kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengawal individu yang dilantik ke jawatan penting parti.

Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon mendakwa, sebagai Ketua Penerangan yang membawa suara dan imej rasmi parti namun kenyataan Tun Faisal berhubung Timbalan Presiden itu tidak pernah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selain tidak pernah dibincangkan bersama ketua-ketua bahagian.

Beliau mempersoalkan mandat yang dimiliki Tun Faisal untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian, sambil menegaskan tiada keputusan rasmi parti yang menyokong serangan terbuka terhadap Hamzah.

“Oleh kerana Ketua Penerangan dilantik oleh Presiden, persoalannya adakah Tan Sri Muhyiddin merestui kenyataan Tun Faisal itu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Ramlan turut mempersoalkan sejak bila seorang Ketua Penerangan dibenarkan menyerang pemimpin tertinggi parti sendiri secara terbuka, sambil menegaskan, Tun Faisal sepatutnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu atas tindakannya menyerang Timbalan Presiden.

Beliau menyifatkan Tun Faisal sebagai ketua penerangan yang gagal kerana didakwa lebih bertindak sebagai jurucakap presiden sehingga mengabaikan tugas hakiki untuk mewakili suara keseluruhan parti.

Menurut Ramlan lagi, sikap yang ditunjukkan Tun Faisal menjadi antara faktor semakin ramai ahli dan penyokong menolak kepimpinan Muhyiddin memandangkan Tun Faisal dilihat sebagai orang lantikan presiden itu.

“Apabila mereka membenci Tun Faisal, maka mereka turut membenci Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Ramlan turut menggambarkan situasi semasa Bersatu sebagai malang kerana terpaksa menanggung liabiliti yang membebankan parti secara keseluruhan. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast