Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin pada program SkopMG di Studio MG, Kompleks Permaisuri Q, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 13 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta agar tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebaliknya perkara itu perlu dinilai secara rasional, berasaskan fakta serta disiplin akademik, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum kegusaran segelintir pihak terhadap kajian berkenaan namun menegaskan, UIAM merupakan institusi pengajian tinggi bereputasi global yang berpengalaman luas dalam penyelidikan dasar awam dan menjalankan kajian tersebut mengikut kaedah ilmiah serta standard akademik yang diiktiraf sejak Disember lalu.

“Sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan rasmi berkaitan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar, sama ada di Kuala Lumpur atau mana-mana negeri lain dan sebarang keputusan dasar penting akan dibincangkan secara kolektif oleh pucuk pimpinan gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, isu berkenaan perlu diteliti dengan cermat dan mengambil kira semangat penubuhan Wilayah Persekutuan serta sensitiviti semua pemegang taruh berkaitan.

“Selaras Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), dan sebarang pindaan terhadap akta ini juga melibatkan kuasa Seri Paduka Baginda.

“Sehubungan itu, proses berkenaan dijangka melalui fasa tapisan dan perbincangan yang mendalam serta tidak boleh diselesaikan secara tergesa-gesa atau beremosi,” ujarnya.

Katanya lagi, Keadlilan Wilayah Perskutuan turut mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bahawa dapatan kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Kabinet Kerajaan Madani untuk penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dipertimbangkan.

Selain itu, beliau berpandangan, sesi libat urus yang komprehensif perlu dilaksanakan melibatkan persatuan penduduk, badan bukan kerajaan serta pemimpin tempatan di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat Kuala Lumpur.

“Justeru, semua pihak diseru agar memberi ruang kepada proses kajian dan pertimbangan dasar yang sedang berjalan serta mengelakkan pembentukan naratif berasaskan andaian atau polemik semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast